Stail

KAKA KUKUHKAN KEMUDI

MENERJAH atmosfera seni muzik tempatan menerusi lagu Bawaku Pergi, single pertama dan sekali gus menjadi lagu kontroversi bersama Zizan Razak pada awal tahun 2012, introduksi wanita muda yang memperkenalkan diri sebagai Kaka Azraff kini meneruskan pacuannya. 

IMG_4022-Edit

Kali ini, biarpun masih berpegang kepada jalur muzik serta corak penampilan yang sama, anak kelahiran Klang, Selangor itu mendefinisikan buah tangan terbaharunya, Infiniti Cinta sebagai satu kesinambungan balas dendam.

Berbunyi kasar dan sedikit beremosi, Kaka sedar skeptikal yang pernah dilabelkan ke mukanya dahulu harus segera dibasuh. Dia mahu penggemar muzik dan khalayak maklum bahawa keberadaannya atas pentas nyanyian bukan sebuah percubaan suka-suka.

kaka veloster (11)

“Saya masuk ke dalam industri bukan untuk cuba-cuba. Saya  serius mahu menjadi penyanyi. Saya percaya rezeki saya di sini. Apa yang terjadi kepada lagu Bawaku Pergi dahulu memang bukan dirancang, ia berlaku secara tiba-tiba. Kemudian muncul pula kontroversi yang menyakitkan. Saya dan Zizan dicemuh kerana lagu itu dianggap membawa mesej negatif. Untuk lagu Infiniti Cinta, saya tahu ia dihasilkan dengan penuh perancangan.

“Saya anggap single itu sebagai langkah kedua. Saya mahu basuh pandangan sesetengah pihak yang anggap saya sekadar pengisi ruang. Boleh dikatakan lagu Infiniti Cinta juga sebagai lagu ‘balas dendam’ daripada saya dan Zizan terhadap segala kontroversi Bawaku Pergi. Lagu ini merupakan satu kesinambungan kepada saya untuk meneruskan langkah bergelar penyanyi di persada muzik tanah air,” luah anak saudara ratu rock negara, Ella itu penuh matang.

kaka veloster (14)

Mengajak Kaka berbicara soal pengukuhan dan pengaruh, dia juga sedar tanggapan khalayak terhadap dirinya. Masuk ke dalam industri menerusi duet bersama Zizan yang mempunyai pengaruh besar, secara tidak langsung sokongan yang diterima banyak datangnya daripada peminat Zizan sendiri.

“Kalau untuk pengukuhan karier dan pengaruh, saya lebih berharap kepada single solo pertama saya nanti. Itu baru betul satu pengukuhan. Bukan saya tidak yakin dengan impak Infiniti Cinta, tetapi dalam lagu itu orang masih melihat saya menempel atas populariti Zizan. Saya tak salahkan gelaran sebegitu. Namun populariti juga sangat subjektif, mungkin betul, mungkin juga tidak.

kaka veloster (1)

“Jadi, kredibiliti saya akan benar-benar teruji dengan single terbaharu saya yang akan dilancarkan Disember nanti. Itulah produk yang akan membuktikan sama ada saya boleh berdiri atas kaki sendiri atau tidak,” katanya penuh misi.

Berbilang rasa, takut dan gementar, namun keterujaan menanti kelahiran single yang diberi judul Kepulangan itu jelas terpampang pada wajahnya.

kaka veloster (15)

“Kepulangan sebuah lagu tentang kekuatan semangat dan hati seorang wanita. Lagu itu ciptaan sepenuhnya komposer baharu bernama QZ. Kalau bercakap tentang lirik, saya suka lirik lagu itu yang tidak terlalu fokus kepada cinta. Sebaliknya lebih kepada motivasi. Rasanya lagu itu sangat kena dengan saya. Saya suka lagu-lagu Beyonce, lagu-lagu banyak berkisar tentang kekuatan wanita. Perasaan saya lebih ke arah itu, bukannya cinta,” ujar Kaka yang mahu menawan hati peminat sedalam-dalamnya.

Lali dengan skeptikal bayangan Ella

Sudah menjadi adat, mempunyai pertalian darah dengan orang ternama, sudah tentu tempiasnya terpercik juga ke wajah pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff. Menjadi anak saudara kepada Ella ternyata menjadi satu daripada arus cabaran yang harus ditelan Kaka sepanjang hidupnya. Sejak dari mula hendak menapak dan sehinggalah sekarang, khalayak masih melihat bayangan Ella pada kelibatnya.

kaka veloster (18)

“Perkara itu memang sudah tidak dapat dielak. Elak macam mana sekali pun, ia tetap datang. Saya sudah lali dan menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada saya. Sejak kecil, saya antara anak saudara yang rapat dengan Ella, terinspirasi dan menjadikan Ella sebagai idola. Jadi, jika saya kelihatan terikut-ikut dengan cara Ella, itu tidak boleh disangkal. Saya okey dengan apa sahaja pandangan orang.

“Sebab itulah saya pilih jalan sendiri. Kalau boleh saya juga mahu memintas bayang-bayang itu. Tapi siapalah saya untuk dibandingkan dengan ibu saudara saya itu, dia Ella dan saya tidak boleh buat apa-apa jika terus dikaitkan sebagai bayangan Ella. Apa yang boleh saya cakap, saya tidak semanja Ella. Selagi boleh, saya akan pandu diri agar mengelak daripada bermain rambut atau bercakap dengan nada seperti Ella tapi kadang-kadang terlepas juga.

kaka veloster (10)

“Cuma harapan saya, moga suatu hari nanti, khalayak akan menerima Kaka sebagai Kaka, bukan sekadar bayangan,” katanya yang merupakan anak kepada abang kandung Ella, Noor Azraff Aminuddin yang telah meninggal dunia.

Anak ketiga daripada empat beradik itu yakin, langkah menceburi bidang seni bukan batu loncatan untuk populariti mahupun eksperimental. Dia percaya darah seni yang memenuhi urat sarafnya itu sedang dialirkan ke laluan yang sewajarnya.

kaka veloster (5)

Jika boleh, Kaka juga mahu menjadi seperti selebriti lain, bukan sekadar nyanyian. Dia juga meminati dunia pengacaraan. Kaka bakal mengendalikan sebuah rancangan seumpama Jalan-Jalan Cari Makan bertajuk Superder yang akan memulakan penggambaran November nanti.

[hr]Teks: TQ SUZZANNA ARHEJ ([email protected])

Foto:  NIZAM ZAINUDDIN (t[email protected])

Solekan & dandanan: EVA SHAHRUL

Busana: SHAFIQ AIMAN (019-3788457)

[hr] Galeri 

kaka veloster (7)kaka veloster (3)kaka veloster (9)kaka veloster (12)kaka veloster (17)kaka veloster (16)IMG_4079

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Check Also
Close
Back to top button