Buletin

KAWASAKI NINJA ZX-25R MENDARAT DI INDONESIA. HARGA BERMULA RM28,000

Kawasaki Motor Indonesia secara rasmi melancarkan Kawasaki Ninja ZX-25R di platform virtual YouTube baru-baru ini.

Dengan menawarkan dua varian, Standard dan ABS Special Edition (SE), motosikal terbaharu ini menampilkan empat warna garang untuk dijadikan pilihan pembeli.

Di pasaran Indonesia, harga jualan jentera baharu ini bermula dari IDR96,000,000 (RM28,373) untuk model standard dan IDR112,900,000 (RM33,102) bagi ABS SE.

Bagi versi standard, ia didatangkan dengan warna hitam (Metallic Spark Black) manakala jentera lebih canggih menawarkan tiga pilihan warna.

Ia adalah hijau (Lime Green/Ebony), biru (Candy Plasma Blue/Metallic Spark Black) dan hitam (Metallic Spark Black/Pearl Flat Stardust White).

Penampilan garang Kawasaki ZX-25R ini diterjemahkan lagi melalui rekaan grafik menghiasi jentera ini, lampu utama berkembar jenis LED, tangki bahan api lebih muscular dan tempat duduk jenis step-up.

Kerangka frem trellis baharu jenis keluli tekanan tinggi dan sistem ekzos kompak memastikan tunggangan lebih padu serta tangkas dalam pengendalian jentera baharu ini.

Selain itu, ia didatangkan bersama fork hadapan terbaik Showa 37 mm dengan Separate Function Fork-Big Piston(SFF-BP). Suspensi bahagian belakang menggunakan Horizontal Back-link dan monoshock 116 mm wheel-travel.

Dari segi keselamatan, jentera ini menggunakan  rotor 310 mm dan angkup empat omboh di hadapan, manakala bahagian belakang pula dilengkapi rotor 220 mm dengan angkup omboh tunggal.

Didatangkan dengan khidmat enjin empat silinder 250cc, ia mampu menjana kuasa maksimum 49hp dengan putaran enjin 15,000 rpm. Tork maksimum pula boleh mencecah 22.9 Nm pada putaran enjin 14,500 rpm.

Model Ninja ZX-25R ini menawarkan ciri-ciri bantuan elektronik yang canggih seperti Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC), mod power membenarkan penunggang memilih kuasa tunggangan Full ataupun Low dan Kawasaki Quick Shifter (KQS).  

Selain itu, sistem paparan semi-digital  menampilkan takometer analog yang membenarkan penunggang melihat kadar putaran enjin meningkat apabila pendikit dikerah.

Di Malaysia, peminat jentera Kawasaki perlu bersabar dahulu kerana belum ada kepastian bila Kawasaki ZX-25R ini akan memasuki pasaran. Sabar yee.

Google ads
Back to top button