Motosikal

KBS KOMITED MAHU BANTU HAFIZH DAPATKAN TAJAAN DAN DANA

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilapor mahu memberi bantuan kewangan kepada pelumba negara, Hafizh Syahrin untuk mengharung musim perlumbaan 2020 yang bakal bermula pada Mac depan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Perkembangan positif itu disuarakan oleh Menterinya, Syed Saddiq Abdul Rahman selepas keadaan Hafizh yang masih belum mendapat mana-mana tajaan utama mendapat perhatian media.

Syed Saddiq memberitahu beliau akan berbincang dengan pengurusan tertinggi KBS tentang berapakah jumlah dana yang bakal disalurkan daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN). 

Sedia maklum bahawa Hafizh akan kembali bersaing ke kelas Moto2 bersama pasukan Angel Nieto selepas dua musim beraksi dalam kelas premier MotoGP. 

“Saya akan membantu sebaik mungkin kerana sebelum ini, fokus kita adalah untuk mencari penaja dalam kalangan syarikat korporat. Kita masih menunggu permohonan daripada pihak Hafizh Syahrin dan akan terus cari jalan untuk membantu beliau,” katanya

Syed Saddiq turut menyeru syarikat korporat supaya tampil membantu demi mengurangkan beban kewangan Hafizh sepanjang musim 2020. 

Pasukan Angel Nieto dilaporkan hanya bersetuju membantu Hafizh Syahrin untuk mendapatkan tempat dalam perlumbaan Moto2 sahaja.

Jadi, pelumba kelahiran Selangor berusia 25 tahun itu perlu mendapatkan sendiri penaja utama bagi menampung perbelanjaan beberapa keperluan lain seperti gaji, tiket penerbangan, hotel, kos latihan dan pengangkutan.

PETRONAS sebelum ini mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menaja Hafizh Syahrin untuk beraksi dalam kelas Moto2 tahun ini. Sebaliknya, ia hanya akan menyalurkan tajaan kepada pembangunan akar umbi termasuklah pasukan SIC bagi kelas Moto3.

sumber: Bernama

Google ads
Back to top button