KEMBARA DUCATI MULTISTRADA 1200
Satu perkara yang jelas tentang industri motosikal berkuasa tinggi hari ini ialah setiap pengeluar cuba untuk menghasilkan pesaing bagi setiap segmentasi.
Tidak banyak berbeza dengan ilham jurutera kereta, pereka motosikal juga sentiasa cuba menampilkan idea baru. Kalau bukan revolusi dari segi teknologi, mereka mungkin cuba untuk memenuhi ruang yang ditinggalkan oleh pesaing dalam industri.
Motosikal kembara atau touring pada hari ini sebenarnya sudah menjadi sangat subjektif. Pada awalnya ia bersifat dual purpose, mesti boleh merentas sekurang-kurangnya jalan off-road ringan.
Tapi nak bawa Ducati Multistrada ini dalam belukar? Walaupun diganti dengan tayar dirt, memang kena pikir 100 kali. Ini ibarat Range Rover Sport Autobiography.
Namun, bagaimana sejarah motosikal touring boleh dengan begitu ketara? Apabila bercakap tentang overlander, sudah tentu kita merujuk kepada BMW R1200GS. GS telah mengubah landskap dan mengubah haluan motosikal touring menjadi lebih mesra bandar (urban friendly).
Kalau tengok pada kecenderungan industri hari ini pun, semuanya hampir sama. Yamaha memperkenalkan MT09 Tracer, Honda ada barisan model NC700, kawasaki dengan Versys, Triumph Tiger, malah BMW S1000 superbike pun dah ada sumpahan S1000XR.
Pasaran di benua Eropah memang sangat besar. Jadi kelahiran Mulstristrada memang sudah dijangka. Motor ini dilancarkan pada tahun 2010. Walaupun mendapat sambutan menggalakkan di sana, ia masih lagi dibayangi oleh BMW GS.
Pertama kali duduk di atas pelana Mulstristrada dan memaut bar hendalnya, kita sudah tahu bahawa ini ialah sebuah touring. Letaklah tajuk dan label apa pun, ia tetap sebuah touring. Pelana tinggi, bar hendal lebar mencapang, perehat kaki jauh dari titik graviti serta kedudukan tunggangan menegak.
Pertama, pilih mod panduan terlebih dahulu. Di paparan meter digital yang maha sofistikated itu, saya mencari pilihan yang tertera ialah URBAN, TOURING, SPORT dan ENDURO. Saya memilih mod URBAN ketika keluar dari pusat pameran Ducati Naza di Petaling Jaya kerana anggapan saya 100hp sudah cukup untuk melayan arus trafik bandar.
Ternyata URBAN tak sedap adoiii… Saya terus memilih dan mencuba setiap satunya dan SPORT adalah pilihan terbaik. Dengan kuasa kuda maksimum 160hp dihantar ke roda belakang, setiap titik rpm pada tork yang diperlukan. Berbeza dengan mod tertinggi pada motosikal jenis supersport, kebanyakan touring rpm nya lebih linear.
Tukaran gear cukup lembut dan lancar. Terima kasih kepada aktuator klac hidraulik yang cukup selesa terutama ketika kena kerap tukar gear. Enjin Testastretta Ride By Wire (RBW) dari 1198 DVT (Desmodromic Variable Timing) digabungkan dengan teknologi inovatif terkini yang ada dalam industri.
Namakan saja, sampai tergeliat lidah nak menyebutnya. Ia ada Ducati Traction Control (DTC), sistem ABS dengan 9 titik kalibrasi?, Ducati Wheelie Control (DWC) dan Ducati Skyhook Suspension (DSS).
Mod kelajuan yang sebutkan tadi telah dipreset mengikut gabungan sistem rumit ni. Bayangkan kalau terpaksa customize setting tanpa template? Alamatnya, geng dah makan lemang To’Ki kat Bentong siap sendawa bergelak ketawa kita mungkin baru isi minyak kat BHP Tol Gombak.
Bentangan grafik meternya memang lengkap, cuma peta GPS je tak dimasukkan sekali. Selain tu semuanya ada, suhu, level ABS, indikator DTC, DWC, suhu udara, posisi gear, jarak pemanduan malah tongkat motor tak naik pun ada indikator di sebelah kiri. Ia memang sebuah Ducati, mesti lebih dari orang lain.
Setiap perincian motosikal ini membuktikan kualiti binaan terbaik dan memang nampak mahal. Suis-suis di kiri dan kanan diterangi lampu latar pada waktu malam. Perincian kerangka, kemasan badan, sudut ekzos, lengan ayun tunggal belakang menampilkan DNA Ducati sepenuhnya. Saya rasa, craftmanship paling dekat dengan jenama Ducati ni mungkin MV Agusta. Saya rasa je lah.
Empat hari menunggang Multistrada 1200 memberi kesimpulan bahawa ia sebuah motosikal hujung minggu yang seronok ditunggang. Berapa laju? Saya cuma berani setakat 217km/j sahaja. Bagi piawaian sebuah touring, ia dah cukup laju.
Kelajuan ideal katanya 160-180km/j. Katanya lah. Saya melayan KL-Karak dan memanjat Genting Highlands. Itu sahaja yang sempat, kebetulan banyak pula kerja nak kena siapkan minggu lepas.
Tunggangan di bandar? Sudut tunggangan tu membantu posisi dan membezakannya dengan superbike. Tak lenguh langsung, tak ada beban brek, tak ada rintangan angin cuma gabungan hendal lebar dan cermin sisi tu memang bencana kalau jalan jem.
Memang inilah karekter sebuah touring besar. Melainkan anda tunggang pakai KTNS lah tak mau komplen sangkut pada cermin sisi kereta. Kalau nak lagi lincah dalam bandar, silalah beli Ducati Hyperstrada 821 (lebih kepada supermoto sebenarnya).
Dunia touring/Enduro/Dual Purpose sudah berubah sejak zaman Honda Africa Twin dan Suzuki Dr Big jadi raja. Nama seperti Super Tenere sudah makin mengecil. Pengeluar hari ini cenderung menghasilkan produk lebih urban berbanding overlander sebenar. Touring tidak lagi dikaitkan dengan jentera berat dan kapasiti tangki sebesar rumah.
Multistrada 1200 dijual pada harga RM119,000. Ya. Tidak murah. Ducati akan sentiasa menjadi Ducati. Premium dan market yang untouchable kata persepsi yang membayangkan craftmanship yang dimilikinya.
Begitulah kekuatan jenama, ia mampu mengumpul peminat sendiri. Harus diingat ini ialah model ‘asas’, ada lagi varian lebih tinggi iaitu 1200S dan Pikes Peak.
Dunia memang tak adil kan?