
KENALI MODA, JENAMA TEMPATAN BAHARU OLEH AMI
Baru-baru ini AFY Mobility Industries (AMI) yang juga merupakan pengedar rasmi jenama Suzuki di Malaysia telah pun memperkenalkan jenama motosikal baharu menerusi MODA Sporter S.

MODA Sporter S merupakan skuter maxi bersesaran 250cc yang dijual di Malaysia oleh AMI dengan harga jualan RM17,888.
Bagaimanapun, sejurus pelancaran kami menerima pelbagai persoalan mengenai motosikal berkenaan termasuk jenama MODA. Jadi penulisan kali ini bertujuan memberi sedikit penjelasan mengenai model terbaru tersebut.

MODA jenama dari mana?
MODA merupakan jenama tempatan baharu diperkenalkan AMI untuk pasaran tempatan selepas jenama AFAZ.
Ada juga yang bertanyakan sama ada MODA dan AFAZ adalah entiti yang sama namun pihak AMI telah memaklumkan MODA dan AFAZ adalah dua jenama yang berbeza meskipun berada dibawah payung AMI.

Menurut AMI, MODA hanya akan menawarkan motosikal jenis skuter sahaja untuk pasaran negara sementara AFAZ pula akan terdiri daripada pelbagai jenis motosikal kecuali skuter.
Untuk makluman, AFAZ telah menjalin kerjasama dengan Suzuki bagi pembangunan beberapa motosikal. Kerjasama ini bakal menyaksikan motosikal AFAZ akan dikuasakan enjin yang dibekalkan Suzuki.

MODA Sporter S sekadar motosikal ‘rebadge’?
Untuk rekod, MODA Sporter S merupakan motosikal yang telah dijenamakan semula dari Wottan Storm-R 300/Taro TR300T.
Wottan pula merupakan jenama motosikal dari Sepanyol namun penghasilan motosikal berkenaan dilakukan sepenuhnya di China oleh pihak Taro Motor. Taro juga menawarkan skuter tersebut di China namun dengan nama TR300T.
Bagaimanapun, Sporter-S bukan sekadar skuter maxi yang telah dijenamakan semula dari Storm-R 300 untuk pasaran Malaysia.

Pertamanya, atas faktor lesen motosikal di Malaysia, MODA telah mengecilkan kapasiti enjin dari 300cc (278cc) kepada 250cc (244cc) dengan bore dan stroke ditala semula dari 75mm x 63mm kepada 72mm x 60mm. Peralihan dari 300cc kepada 250cc juga memastikan pengguna B2 dapat menikmati skuter berkenaan.
Keduanya, MODA turut menaik taraf ECU kepada ECU jenama Bosch bagi memastikan sistem motosikal berfungsi dengan lebih efisien.

MODA bakal tawar skuter elektrik
Kami difahamkan bahawa MODA bakal menawarkan pelbagai model skuter untuk pasaran Malaysia pada masa akan datang. Menariknya, kami turut diberitahu bahawa MODA akan turut menawarkan skuter elektrik.
Selain itu, tinjauan di laman web rasmi MODA juga menunjukkan bahawa dua lagi model skuter akan diperkenalkan termasuk skuter gaya adventure dan urban. Bagaimanapun, tiada tarikh rasmi diumumkan.