
KENAPA ENJIN X50 3 SILINDER? KENAPA TAK BUAT 4 SILINDER?
Pernah anda tertanya kenapa Proton dan Geely tidak membangunkan enjin yang menggunakan 4 silinder bagi model X50 sama seperti X70. Sedangkan Honda Civic masih menggunakan enjin 1500cc L15B7 yang dibangunkan atas rekaan 4 silinder. “Kalau bergegar macam mesin basuh macam mana nak buat?”
Itu komen nakal yang biasa kami baca di laman sosial. Untuk mengkaji enjin 1.5TGDi ini secara mendalam, kami mengajak pembaca meneliti rekaan asas enjin tersebut iaitu berapa saiz ukuran lejang dan diameter silinder enjin ini. Enjin ini memiliki saiz lejang 93.2mm dan saiz diameter pada 82mm. Ukuran saiz enjin ini jika dikira untuk 3 silinder menghasilkan isipadu kira-kira 1477cc.

Pada pendapat penulis, enjin ini sebenarnya direka berdasarkan enjin 4 silinder 2000cc daripada keluarga enjin Volvo. Jika anda semak rekaan enjin 2000cc 4 silinder yang digunakan oleh Volvo S60, Volvo XC60, Volvo XC40 dan Volvo XC90 anda akan dapati ia menggunakan rekaan enjin yang sama iaitu saiz lejang 93.2mm dan saiz diameter pada 82mm. (1969cc)
Bagi memudahkan rekaan, kita ambil enjin tersebut dan kerat satu silinder agar enjin tersebut menjadi 3 silinder. Hasilnya kita mendapat sesaran enjin sekitar 1477cc. Rekaan sebegini memudahkan jurutera menghasilkan enjin dengan sesaran baru tanpa perlu mereka semua keseluruhan komponen lain dan melalui proses yang rumit.

Kerat satu silinder, pendekkan aci engkol dan aci sesondol. Mungkin terdapat beberapa komponen lain yang perlu diubah semasa enjin ini direka. Walaubagaimanapun, enjin 1.5 TGDi bukanlah direka oleh Volvo sepenuhnya namun ia berdasarkan kerjasama antara Geely dan Volvo dibawah keluarga Volvo Engine Architecture
Dr. Håkan Sandquist salah seorang Director of Powertrain Strategy at CEVT China Euro Vehicle Technology menyatakan salah satu sebab rekaan enjin 3 silinder dipilih ialah rekaan 3 silinder sebenarnya lebih ringan berbanding dengan 4 silinder bagi menghasilkan berat cesi yang sekata antara bahagian depan dan belakang kereta. Berat yang sekata memberikan dinamik pengendalian yang lebih bagus.

Malah ketika dibangunkan, pasukan Dr Dr. Håkan Sandquist turut mempertimbangkan untuk mengintegrasikan teknologi hibrid elektrik pada enjin ini agar kadar pengeluaran asap melepasi piawaian Euro 6. Jadi enjin 3 silinder ini dibuat agar ia membekalkan ruang yang cukup untuk pemasangan komponen hibrid
Selain dari varian 1.5 TGDi dan 1.5 T PFi, Geely dan Volvo turut membangunkan satu lagi varian enjin yang dikenali dengan nama 1.5 PFI Miller Cycle lengkap dengan turbo. Miller Cycle merujuk kepada kitaran enjin yang direka agar ia menjadi lebih cekap penjimatan petrol dengan mengubah pemasaan injap. Enjin 1.5 PFi Miller ini menghasilkan 140 kuasa kuda dan 215 Nm tork.

Tork yang kurang sedikit berbanding 1.5TGDi dan 1.5T PFi ini akan ditampung dengan teknologi elektrifikasi. Motor hibrid berupaya membekalkan tork segera dari 0 RPM. Rekaan enjin 3 Silinder ini telah direka untuk menyokong aplikasi MHEV 48 Volt, dan juga Plug in Hibrid.
Eh jap, 3 silinder tak gegar ke? Volvo ini tuan-tuan pakar buat enjin ganjil sejak dari dulu. Malah ada enjin mereka direka dengan 5 silinder. Kalau takat 3 silinder ni, dalam kocek mereka je. Seperti yang kami ulas sebelum ini, enjin 3 silinder ini telah dipasang balancer shaft bagi mengharmonikan pergerakan 3 piston.

Selain dari itu enjin ini juga dilengkapkan dengan dual mass flywheel with centrifugal pendulum absorber damper, single balancing shaft, timing belt yang lebih senyap, oil pan yang lebih tegar, asymmetric oil pump impeller, counter weight crankshaft, dan cagak engin yang direka khas untuk enjin 3 silinder agar NVH yang sampai pada kabin X50 adalah rendah atau lebih baik dari enjin 4 silinder