Buletin

PROTON CATAT JUALAN BULANAN TERBAIK PADA JUN DENGAN 14,787 UNIT. X50 DAN X70 TERUS POPULAR

PROTON mencatatkan jualan bulanan terbaik iaitu 14,787 unit (tempatan + Eksport) didaftarkan pada bulan Jun selari dengan usaha syarikat secara berterusan untuk menyelesaikan isu bekalan komponen. 

Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 51 peratus berbanding bulan lepas, sekali gus meningkatkan jumlah jualan separuh tahun pertama 2022 kepada 60,124 unit, naik 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Secara keseluruhannya, PROTON mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam industri automotif dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6 peratus. Manakala jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2 peratus,

turun sebanyak 5.1 peratus berbanding enam bulan pertama pada tahun lepas. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit.

Sejak dilancarkan pada 27 Oktober 2020, jualan X50 menjadi satu fenomena yang membantu PROTON menjadi peneraju dalam SUV di Malaysia. Bulan lalu, Proton X50 mencatatkan jualan bulanan terbaik dengan 4,473 unit didaftarkan.

Model X70 facelift yang dilancarkan baru-baru ini juga mencapai prestasi terbaiknya sepanjang tempoh 20 bulan dengan 2,969 unit, seterusnya dapat mengekalkan posisi sebagai pemimpin jualan untuk SUV segmen C.

Model-model lain yang turut menikmati manfaat dengan pembaharuan ialah Proton Saga 2022 yang diperkenalkan pada 12 Mei 2022. Sebanyak 5,460 unit telah didaftarkan pada bulan lepas, seterusnya melonjakkannya kembali ke tangga teratas bagi kelas sedan segmen-A dan memacu jumlah akumulatif jualan tahunan kepada 23,484 unit.

Peneraju segmen keempat bagi bulan Jun ialah Proton Exora yang mengekalkan posisi nombor 1 dalam kelas MPV segmen C dengan 513 unit. Akhir sekali, Proton Persona dan Proton Iriz mencatat jualan 1,224 unit dan 421 unit, meletakkan mereka di posisi ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.

Google ads
Back to top button