Buletin

BRITAIN BENARKAN KENDERAAN ’PANDU SENIDIRI’ DI LEBUH RAYA AKHIR TAHUN INI

Kenderaan pandu sendiri akan berada di lebuh raya di Britain menjelang akhir tahun ini dan pemandu dibenarkan untuk ‘tidak memegang stereng’ ketika memandu.

Jabatan Pengangkutan (DfT) dalam kenyataan berkata, pihaknya membenarkan pemanduan bebas tangan untuk kenderaan dilengkapi teknologi pengekalan lorong yang hanya boleh digunakan ketika trafik perlahan.

Teknologi Sistem Pengekalan Lorong Automatik (ALKS) yang digunakan di peringkat antarabangsa untuk pembangunan kenderaan autonomi, mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 60 kilometer sejam.

DfT berkata, kebenaran berkenaan akan menyuraikan kesesakan, mengurangkan pembebasan karbon selain mengelakkan kesilapan manusia.

Melalui sistem ini, pemandu akan memberikan kawalan kepada kereta mereka yang kemudiannya secara automatik akan memantau kelajuan kenderaan serta memastikan jarak selamat dengan kenderaan lain.

Teknologi itu dikatakan dapat meningkatkan keselamatan jalan raya dengan mengurangkan kesilapan manusia yang menyumbang kepada lebih 85 peratus kemalangan.

Kerajaan United Kingdom menjangka teknologi kenderaan autonomi mampu menawarkan 38,000 pekerjaan menjelang 2035 dalam industri yang bernilai berbilion pound.-agensi

Google ads
Back to top button