Buletin

KERETA BAHARU SEMAKIN KURANG BERMASALAH. JAZZ, CITY & CR-V UNGGULI TIGA KATEGORI KAJI SELIDIK J.D. POWER 2019

Menurut Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 oleh J.D. PowerSM, masalah yang dialami oleh pemilik-pemilik kenderaan baharu di Malaysia didapati menurun berbanding tahun 2018. Ia berikutan kurangnya masalah yang berkait dengan pengilangan.

Kualiti awal mengukur jumlah masalah yang dialami oleh setiap 100 kenderaan (PP100) dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan, di mana jumlah yang rendah mewakili kualiti lebih tinggi. 

Dalam kaji selidik tahun ini, purata industri telah menurun kepada 85 PP100, daripada 89 PP100 sepanjang tahun 2018. Masalah yang dialami hampir sama, melibatkan aspek reka bentuk (40 PP100) dan pengilangan (44 PP100).

Kaji selidik mendapati jumlah masalah yang berkaitan dengan pengilangan telah berkurangan sejak tiga tahun lalu menjadi 51 peratus untuk tahun 2019 daripada 74 peratus pada tahun 2016. 

Punca majoriti dalam penurunan berbanding tahun lalu adalah dari segi bunyi. Misalnya bunyi angin (-1.7 PP100); bunyi suspensi tidak normal (-1.1 PP100); bunyi dari tempat duduk (-0.9 PP100); bunyi transmisi tidak normal (-0.7 PP100); dan bunyi dari ruang penyimpanan (-0.3 PP100). 

Namun begitu, 36% daripada masalah pengilangan yang dilaporkan oleh pemilik kenderaan adalah berkaitan dengan bunyi.

Secara purata, pemarkahan keseluruhan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan kenderaan baharu lebih rendah dalam kalangan pemilik kenderaan yang melaporkan masalah bunyi berkaitan dengan isu pengilangan berbanding dengan mereka yang tidak (7.3 dan 8.2 masing-masing dalam skala 10 mata).

“Pemilik kenderaan nampaknya terus peka terhadap masalah bunyi yang akan menjejaskan persepsi terhadap kualiti keseluruhan kenderaan mereka,” kata Pengurus Negara untuk Malaysia di J.D. Power, E-Ling Cheah.  Berikut adalah penemuan utama daripada kaji selidik tahun 2019:

  • Masalah utama yang lalu masih kekal: Di antara lima masalah utama, empat adalah sama dengan lima masalah teratas dalam tahun 2018. Bunyi angin yang berlebihan (5.9 PP100) dan bunyi jalan yang berlebihan (2.9 PP100) masih menjadi dua masalah teratas yang dilaporkan. “Masalah hubungan Bluetooth® dengan peranti/telefon bimbit” menjadi masalah ketiga paling banyak dilaporkan (2.7 PP100), meningkat dari tempat kelima tahun lepas (2.5 PP100). Masalah radio mendapat kedudukan keempat tahun ini (2.0 PP100).
  • Pemilik kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah: Pelanggan berusia bawah 35 tahun (57%) melaporkan lebih banyak masalah berbanding mereka yang berumur 35 tahun ke atas (91 PP100 berbanding dengan 73 PP100). Pemilik kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah dalam kategori ciri kawalan/paparan (+4.6 PP100) dan dalaman kenderaan (+4.5 PP100).
  • Kualiti membina sokongan dan kesetiaan: 49% pemilik kenderaan yang tidak melaporkan masalah menyatakan mereka “pasti akan” mengesyorkan jenama dan model kenderaan kepada rakan atau saudara-mara, berbanding dengan 37% yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah pada kenderaan mereka. Satu per tiga daripada pemilik kenderaan baharu yang tidak mengalami apa-apa masalah dengan kenderaan menyatakan mereka “pasti akan” membeli semula jenama sama di masa depan. Berbeza dengan 26% yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dengan kenderaan mereka.

Kedudukan Kaji Selidik

  • Honda Jazz mendapat kedudukan tertinggi di dalam segmen kenderaan bandar kompak dengan 68 PP100.
  • Honda City mendapat kedudukan tertinggi dalam segmen ‘entry’ saiz sederhana dengan 59 PP100.
  • Perodua Aruz mendapat kedudukan tertinggi dalam segmen SUV kompak dengan 70 PP100.
  • Honda CR-V mendapat kedudukan tertinggi dalam segmen SUV bersaiz besar dengan 64 PP100.

Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 oleh J.D. PowerSM dibuat berdasarkan maklum balas daripada 1,904 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka di antara Julai 2018 dan Ogos 2019. 

Kaji selidik ini melibatkan 50 model kereta penumpang, trak pikap dan kenderaan utiliti daripada 12 jenama. Kaji selidik ini dijalankan antara bulan Mac dan Oktober 2019.

Google ads
Back to top button