Artikel Pilihan

APA ITU KERETA KLON? SAH KE PAKAI ATAS JALAN? TAK KENA TANGKAP KE?

Apa itu kereta klon? Kita biasa mendengar kereta klon berada atas jalan di Malaysia. Kereta klon biasanya dirujuk bilamana dua buah kereta model yang sama menggunakan nombor pendaftaran yang sama. Namun hanya satu sahaja yang benar-benar sah dengan nombor chasis serta cukai jalan sama dengan rekod yang disimpan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Sementara satu lagi adalah “salinan” daripada kereta yang sah tadi. Sekali imbas, ia nampak sah sebab ada cukai jalan dengan nombor pendaftaran tetapi biasanya kantoi bila ada pemeriksaan oleh pihak berkuasa apabila nombor chasisnya tidak sama.

Jarang atau tidak ada kereta klon yang menukar nombor chasis kerana ia proses yang sukar dan pemalsuannya mudah dikesan jika pemeriksaan lanjut dilakukan oleh Jabatan Kimia. (PUSPAKOM atau JPJ biasanya merujuk kepada Jabatan Kimia jika mereka ragu-ragu dengan pemeriksaan fizikal)

Baiklah, dari mana kereta klon ini datang?

Majoritinya kereta dari Singapura. Ya. Ia dari negara jiran kita di mana proses pemilikan kenderaan di sana sangat ketat. Selain membeli kereta yang mahal, untuk memiliki kereta persendirian, anda perlu ada COE (Certificate of Entitlement) atau dengan kata mudahnya “permit” untuk memiliki kereta sendiri.

COE ini mahal dan ada kalanya lebih mahal dari kereta itu sendiri. Tambahan lagi, COE mempunyai tarikh luput samada lima atau 10 tahun. Bergantung pada jenis kereta, pemilik di sana biasanya menggunakan kereta berdasarkan tempoh COE tadi. Pada kebanyakan keadaan, COE yang telah luput tidak akan diperbaharui kerana harganya yang tinggi. Justeru, kereta-kereta tersebut tidak dapat lagi berada di jalanraya dengan sah.

Kereta-kereta yang tamat COE ini akan dijual di pasaran terpakai. Samada menjadi kereta terpakai atau “Diborong” oleh pengeksport kereta yang akan menghantarnya ke luar negara.

Ke luar negara tidak bermaksud Malaysia. Undang-undang import kenderaan (AP) Malaysia dengan jelas menyebut bahawa kereta-kereta yang BERSEMPADAN tidak boleh diimport masuk dengan apa cara sekalipun.

maserati - slider dlm

Banyak pemilik di Singapura memilih untuk  ‘melupuskan’ kereta mereka dan membeli kereta baru yang biasanya didatangkan bersama pakej COE 5 tahun. Ia biasanya lebih murah. Malah kereta tidak memerlukan pemeriksaan wajib untuk 2 tahun pertama.

Kereta-kereta yang sepatutnya dilupuskan ini perlu dieksport ke negara-negara yang dibenarkan. Malaysia sejak dari awal lagi tidak membenarkan kereta-kereta dari negara ASEAN didaftarkan semula di sini.

Itu adalah ketetapan yang diguna pakai untuk melindungi penyeludupan kereta dari negara jiran. Kereta ‘scrap’ dari Singapura jadi begitu murah kerana unit tidak dinilai dalam bentuk dolar. Sebaliknya ia diberi dalam bentuk rebat kepada rakyat mereka yang ingin membeli kereta seterusnya.

Ia adalah industri yang besar, lantas melahirkan sindiket terancang yang mampu membawa masuk kereta-kereta ini menyeberangi Tambak Johor dengan selamat.

Ia kemudian dijual di pasaran gelap dengan harga yang sangat murah. Sebagai contoh, Toyota Wish terpakai di sini yang berharga RM40,000 hingga RM50,000. Tetapi kereta scrap ini dijual di bawah RM10,000. Ada juga yang serendah RM4,000 hingga RM5,000 sahaja.

Banyak model yang mudah menarik pembeli khususnya model-model mewah seperti BMW, Mercedes, Audi, Volkswagen. Malah boleh dapat juga Porsche, Maserati atau Lamborghini asal anda sanggup sediakan pengerasnya.

Adakah ia sah di sisi undang-undang?

Sudah tentu TIDAK. Anda mungkin pernah dengar dakwaan penjual yang kereta ini sah sebab ada rekod di JPJ dan anda bakal jadi pemiliknya yang sah.

Baiklah. Ini adalah sindiket terancang.

Mereka mampu menyediakan dokumen lengkap seperti geran dan cukai jalan. Tetapi sebenarnya itu ialah dokumen yang diplagiat dari pemilik kereta sebenar di Malaysia.

Misalnya, anda memesan Toyota Wish warna merah. Jadi mereka akan dapatkan rekod Wish warna merah yang didaftarkan di Malaysia dan mencetak geran serta cukai jalan yang sama dengan pemilik asal.

Cara pantas untuk menyemak-silang kereta klon adalah dengan memeriksa nombor casis. Kemudian bandingkan dengan nombor di dalam geran tadi.

Benarkah kereta klon dari Singapura boleh jadi halal di Malaysia?

Jawapannya BOLEH.

Tapi ia perlu lalui proses yang panjang.  Jika anda biasa melihat senarai tender dari Jabatan Kastam DiRaja Malaysia atau JPJ, mungkin anda akan tertanya-tanya kenapa begitu banyak kereta yang dirampas dan dilelong?

Kereta yang diimpaun ini datang daripada banyak sumber. Misalnya, kereta yang diseludup dari luar negara, kereta yang tidak membayar duti eksais, kereta yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan yang tidak dituntut serta kereta-kereta klon Singapura yang diberkas di jalanan.

Kereta-kereta ini akan melalui proses lelongan awam. Pemenang bidaannya akan mendapat hak milik mutlak dan sah digunakan di Malaysia sebagai kereta yang baru didaftarkan. Ia akan mendapat nombor pendaftaran baru.

Namun begitu, kereta-kereta begini tidak semurah kereta klon kerana anda perlu bersaing untuk bidaan. Di dalam geran pendaftaran baru juga dinyatakan dengan jelas bahawa pemilik pertama kereta tersebut ialah Pengarah Kastam atau Pengarah JPJ. Pemenang bidaan adalah pemilik kedua.

Kereta-kereta begini juga mempunyai batasan khusus, misalnya ia tidak boleh ditukar milik dalam tempoh 24 bulan.

Bagaimana dengan kereta yang memang nombor pendaftaran Singapura? Sah?

Bergantung pada log-card kereta tersebut. Kalau ia ada rekod dan cukai jalan yang sah, kereta tersebut tiada masalah. Sama dengan kereta rakyat Singapura lain yang dipandu di Malaysia.

Namun kereta-kereta legal ini tak mungkin dijual murah sebab nilai COE itu sahaja pun dah lebih daripada nilai kereta. Melainkan anda kerja di Singapura, tiada sebab yang kukuh nak beli kereta Singapura yang sekurang-kurangnya dua kali lebih mahal berbanding kereta di pasaran Malaysia.

Macam mana dengan kereta Thailand?

Berbeza dengan Singapura, kereta Thailand memerlukan International Circulation Permit – ICP (Permit Pengedaran Antarabangsa) untuk dipandu di sini dan ia hanya sah untuk tempoh 90 hari.

Secara teorinya, selagi kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran Siam dan ICP masih dalam tempoh sah laku, ia tidak menjadi masalah dan tak melanggar undang-undang.

Isu ini pernah ditimbulkan ekoran kegiatan van persendirian dari Thailand yang beroperasi menyeberang sempadan dan menjejaskan pendapatan pemandu teksi tempatan. Namun hingga ke hari ini, belum ada kata putus daripada JPJ dan MKN.

Kalau salah kenapa banyak je iklan kereta ini kat internet?

Dahulu, sindiket kereta klon ini bergerak secara underground dengan hanya menyebarkan iklan dalam kelompok kecil. Namun kini terdapat ramai broker yang berani mengiklankan kereta secara terbuka dalam media sosial. Malah ada yang berani mengiklan dengan pakej identiti klon tadi.

Pertama kali dengar, memang mengujakan. Ye lah, siapa tak nak beli kereta murah kan? Apa lagi bila terdengar janji manis broker. Realitinya, lebih 1,500 buah kereta klon telah dirampas oleh kastam sejak 2014. Tak payah berdolak-dalih kalau jumpa pihak berkuasa hari ini. Mereka ada akses sekelip mata sahaja rekod kenderaan dan pemandu.

Kalau tertangkap, kereta akan dirampas dan pemilik akan dihadapkan ke mahkamah. Denda maksimum RM12,000. Dahlah kereta kena rampas rugi satu hal, kena bayar denda lagi kalau tidak, kena penjara? Tak ke naya.

Ukur baju di badan sendiri

Beli sahaja ikut apa yang kita mampu, jangan ikut nafsu. Selain tindakan undang-undang, pemilik kereta klon juga berdepan risiko tidak dilindungi insuran. Bayangkan kalau terjadi kecelakaan yang melibatkan kematian misalnya.

Tolong jangan risikokan pengguna jalan raya yang lain. Saya yang tak bayar saman parkir ini pun kadang-kala berdebar jumpa polis. Macam mana agaknya yang guna kereta klon ini. Memang tak ada rasa bersalah eh?

p/s: gambar hanya sekadar hiasan

Google ads
Back to top button