Artikel Pilihan

KERETA LUMBA FERRARI 550 MILIK VAN HALEN UNTUK DIJUAL – ROCK OO

Selain mempunyai skil bermain gitar yang menjadikan beliau antara gitaris terbaik sepanjang zaman, Van Halen turut terkenal kerana memiliki antara kereta sports terbaik dan unik. Antara koleksi beliau termasuklah sebuah Mazda RX-7 dengan enjin LS  dan Porsche 911 Turbo yang diubahsuai oleh RUF.

Kini wahai rockers sekelian, anda berpeluang memiliki sebuah kereta kereta yang pernah dimiliki Van Halen. Takkan asyik nak kumpul t-shirt bundle metal je kan? Kereta yang dimaksudkan ialah sebuah Ferrari 550 Maranello yang diubahsuai khusus untuk perlumbaan.

Kereta ini sedang dilelong secara talian oleh Gotta Have Rock and Roll yang cukup terkenal dalam jual beli barang-barang dan memorabilia tulen berkaitan dengan rock and roll dan pop culture.

Van Halen membeli kereta keluaran tahun 2000 ini pada 2008 dan kemudian menjualnya kepada seorang kenalan setahun selepas itu. Ia kekal di tangan kenalan yang juga pemilik kereta tersebut sehingga kini.

Dengan hanya 28,000 perbatuan, Ferrari 550 milik bintang rock ini dikatakan berada dalam keadaan terbaik dan dijaga rapi. Pendaftaran asal juga masih tercatat nama Edward Van Halen sebagai pemilik sebelumnya. Kira rare habih ni.

Dikeluarkan dari tahun 1996-2002, Ferrari 550 Maranello merupakan pengganti kepada F512M dan dikatakan antara kereta enjin depan terbaik Ferrari. Kuasa datangnya daripada enjin V12 yang mampu menghasilkan 485 hp kuasa dan ia kemudiannnya digandingkan dengan transmisi manual 6-kelajuan. Rockers kena bawak kereta manual. Baru ganas.

Berdasarkan gambar, Ferrari Van Halen ini bukannya standard kilang. Ia sudah dilengkapi dengan rollcage, tempat duduk dan tali pinggang keledar 6-point perlumbaan. Mungkin Ferrari 550 kosong ini digunakan oleh Van Halen untuk menyertai perlumbaan hujung minggu cuma belum dapat dipastikan sama ada ia diubahsuai oleh Van Halen sendiri ataupun pemilik selepasnya.

Harga buka lelongan ialah sekitar USD120,000 tetapi ia dijangka akan mampu terjual pada harga sekitar USD150,000 ke 200,000.

Google ads
Back to top button