Buletin

KERETA PANDU SENDIRI VOLVO & UBER DAH SIAP, ANDA SUDAH BERSEDIA?

Tahun 2020 berkemungkinan kereta terbang belum dilancarkan secara massa atau dimiliki ramai namun apa yang pasti ialah Volvo Cars dan Uber sudah siap dengan kereta pandu sendiri (self driving).

Ini bukan lagi projek angan-angan, pada 13 Jun lalu Volvo Cars dan Uber telah memperkenalkan kereta produksi pandu sendiri yang pertama dengan model XC90 sebagai asas.

Projek ini memakan masa yang agak lama, Volvo Cars dan Uber mula memeterai perjanjian kejuruteraan bersama pada 2016 dan sejak itu telah membangunkan beberapa model protaip ke arah menjadikan kereta pandu sendiri sebagai realiti.

XC90 yang diperkenalkan dilengkapi beberapa ciri keselamatan utama yang membolehkan Uber untuk memasang sendiri secara mudah sistem pemanduan tersebut.

Kejayaan ini juga bermakna Uber boleh melancarkan kereta pemanduan sendiri di dalam rangkaian khidmat perkongsian kenderaannya.

Kereta pemanduan automotik ini sangat baharu dan tidak dinafikan ada yang berasa risau dengan keupayaan dan risiko keselamatan.

Untuk menangani risiko tersebut, Volvo Cars melengkapi beberapa sistem sandaran (back up) untuk kedua-dua fungsi stereng dan brek serta kuasa bateri sandaran.

Apabila mana-mana sistem utama menghadapi kegagalan oleh sebab-sebab tertentu, sistem sandaran direka untuk terus bertindak menghentikan kereta.

Sebagai tambahan kepada sistem sandaran terbina dalam oleh Volvo, sejumlah sensor dipasang di atas bumbung dan di dalam kenderaan.

Kelengkapan tersebut direka supaya sistem pemanduan sendiri Uber dapat beroperasi dan melalui di dalam persekitaran bandar dengan selamat.

Apabila dipadankan dengan kenderaan Volvo, sistem pemanduan sendiri Uber dan servis perkongsian kenderaan mungkin satu hari nanti tidak akan memerlukan khidmat Mission Specialist iaitu pekerja terlatih Uber yang mengoperasi dan menyelia kereta di kawasan yang dikhaskan dan sesuai untuk pemanduan autonomi.

Selain perjanjian pembangunan teknologi, kereta yang diperkenalkan hari ini juga adalah sebahagian daripada perjanjian komersil Volvo Cars pada 2016 untuk membekalkan ribuan kereta asas yang sedia untuk teknologi pemanduan sendiri pada tahun-tahun akan datang.

Volvo Cars mempunyai perancangan hebat untuk pemanduan autonomi dan pada awal tahun 2020 akan memperkenalkan model baharu dengan fungsi pemanduan automatik tanpa seliaan pemandu di kawasan khas untuk kenderaan ini seperti di lebuh raya atau jalan lingkaran bandar.

Volvo Cars turut mempunyai keyakinan tinggi apabila percaya teknologi seumpama ini dapat menjana faedah keselamatan untuk masyarakat apabila kesemua kereta dilengkapi teknologi autonomi.

Apa yang dimaksudkan ialah, apabila kesemua kereta menggunakan teknologi autonomi, jalan raya akan menjadi lebih selamat disebabkan kepintaran dan aturcara teknologi kenderaan.

Sekarang pun sudah ada kereta yang pandai kawal stereng, brek dan memecut dengan sendiri.

Bayangkan kesemua kereta mempunyai teknologi autonomi dan saling berkomunikasi di antara satu sama lain? Hebat…!

Google ads
"
"
Back to top button