
TAK LULUS PIAWAIAN FIM, HELMET SHOEI & SHARK DICAT DENGAN LOGO KYT DAN SUOMY
Sesi pertama latihan Grand Prix di Litar Catalunya semalam menyaksikan beberapa orang pelumba berprofil tinggi MotoGP tidak dapat memakai helmet biasa mereka.
Langkah itu diambil selepas beberapa jenama topi keledar gagal mematuhi piawaian homologasi baharu FIM tepat pada masanya.
Andrea Dovioso dan Pecco Bagnaia yang memakai helmet Suomy serta Aleix Espargaro (KYT) merupakan antara pelumba yang terlibat. Penyelesaiannya, mereka bertiga menggunakan topi keledar Shoei dan Shark yang dicat dengan logo Suomy dan KYT.
Ketika ditanya mengenai perubahan itu, Dovioso memberitahu dia tiada masalah langsung dengan keadaan tersebut. “Saya mempunyai seorang pengurus yang bagus dan kami dapat menguruskan situasi ini dengan baik.”

Hampir setahun lalu, FIM telah mengumumkan standard homologasi baharu yang bakal dikuat kuasa pada permulaan musim, tetapi ditangguhkan sehingga minggu lalu. Ujian baru itu dilapor mengubah banyak standard yang pernah diguna pakai sebelum ini.
Ia juga menggabungkan ciri terbaik daripada ujian-ujian sebelum ini bagi membentuk satu standard keseluruhan yang lebih selamat.
Para pengeluar perlu menghantar 10 unit topi keledar dalam setiap saiz yang digunakan oleh pelumba mereka untuk menjalani satu ujian bebas di Makmal Impak di Institut Penyelidikan Kejuruteraan Aragon, Universiti Zaragoza.

Ujian tersebut merangkumi aspek kerosakan linear serta ujian tusukan yang direka untuk memastikan topi keledar adalah seselamat mungkin.
Kemudian semua jenama topi keledar ini akan dibenarkan menambah satu kod QR pada kemasan dalaman yang mengesahkan bahawa ia telah lulus ujian berkenaan.
AGV, Airoh, Arai, Bell, HJC, Kabuto, LS2, MT, NHK, X-lite/Nolan, Skorpion, Shark dan Shoei dikatakan sudah lulus ujian homologasi tersebut. Manakala Suomy dan KYT masih belum ada topi keledar untuk pelumba mereka pada perlumbaan minggu ini.