Buletin

KISAH ANCHAN & WAKE

Tular di media sosial beberapa hari lalu apabila video ‘Anchan’ terkejut melihat kemampuan van mikro Daihatsu bernama Wake, yang begitu praktikal digunakan dalam pelbagai situasi.

Dari tugas mengangkut beg golf, basikal, chiller, papan luncur, kegunaan untuk berkelah dan berkhemah, mahu pun membawa haiwan peliharaan. Lepas gagal berkali-kali membina sesuatu yang seumpamanya, beliau akhirnya mengalah dan turut membeli Wake atas faktor praktikaliti yang ditawarkan.

VIDEO: Set Iklan Daihatsu Wake

Wake sebenarnya telah dipasarkan di Jepun sejak penghujung tahun 2014 bersama kembarnya Toyota Pixis Mega. Ia dibina untuk berada dalam kelas K-Kar (Keijidosha), di mana dimensi keseluruhan tidak melebihi 3.5-meter panjang, 1.5-meter lebar dan 2.0-meter tinggi. Malah kapasiti enjin juga dihadkan sehingga 660cc dengan kuasa maksimum sekitar 64 PS sahaja.

Tidak seperti pasaran luar, kenderaan kelas K-Kar cukup diterima baik di negara Jepun. Bukan hanya kerana mudah dan seronok dipandu, tapi juga atas faktor percukaian dan kos milikan yang jauh lebih rendah. Bagi segmen van mikro seperti Wake, rekabentuknya yang agak berkotak merupakan sesuatu yang unik dan digemari.

Walaupun dipasarkan sebaris dengan model sebaya seperti Move dan Tanto, Wake dilihat lebih praktikal kerana memiliki sela bumbung yang tinggi, sekaligus memberi ilusi ruang yang lebih luas. Ia turut dilengkapi pintu jenis gelongsor di bahagian sisi, termasuk tempat duduk yang boleh dilipat sepenuhnya untuk menghasilkan ruang yang maksimum.

Antara sedar atau tidak, pasaran tempatan kita juga pernah ditawarkan dengan model van kompak dikenali dengan nama Proton Juara pada tahun 2001. Namun akibat kurang pendedahan, ia sukar diterima ramai dan dihentikan terus pengeluarannya dua tahun selepas itu. Ketika van kotak mewah seperti Vellfire semakin bersepah, keinginan untuk memiliki sesuatu yang seumpama dengannya mula bercambah, lagi-lagi bila melihat rupa Wake yang cukup moden selari dengan kemajuan teknologi terkini.

Pun begitu, kemungkinan untuk melihat ia dibawa masuk Perodua sebagai model saduran masih lagi samar. Jangan kata Wake, Move generasi selepas Kenari pun belum tentu. Jika ada pihak yang sedang memerhati, ketahuilah masih ada peminat van mikro dan kompak yang sedang menanti…

-Pak Maun-

GALERI

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button