
KURANG 2 MINIT, BRABUS 1300R HABIS TERJUAL. 180 HP/140NM, HARGA BERMULA RM244,747
Jentera baharu Brabus 1300R habis terjual dalam tempoh 1 minit 55 saat selepas membuka pra-tempahan pada 14 Februari lalu.
Tidak perlu menunggu lama, jentera terhad kepada 154 unit itu mula ditawarkan kepada orang ramai melalui laman KTM.
Ia menawarkan dua pilihan warna iaitu merah (Magma Red) atau hitam (Signature Black) dijual pada harga bermula AS$58,468 (RM244,747).

Kedua-dua warna berkenaan masing-masing dibangunkan sebanyak 77 unit sejajar tahun penubuhan Brabus.
Brabus 1300R merupakan kolaborasi pertama Brabus dan KTM membangunkan motosikal berdasarkan KTM 1290 Super Duke R Evo.

Jentera terbaharu itu, menampilkan gabungan rekaan retro dan moden dipadankan lampu utama berbentuk bulat cukup sinonim dengan supercar Brabus seperti 900 GV12 serta 800 Adventure XLP.
Model itu turut menggunakan banyak gentian karbon dan material ringan pada bahagian tangki minyak, kaliper brek, ventilator, peg kaki, tuil boleh laras dan ekor belakang.

Ia mendapat khidmat enjin V-Twin 1,301 cc LC8 dipadankan transmisi enam kelajuan yang mampu menjana kuasa 180 hp pada 9,500 rpm dan tork 140 Nm pada 8,000 rpm.
Jentera mewah berkenaan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat pada kelajuan maksimum 270 km/j.

Brabus dan KTM turut membangunkan ruangan menunggu pada laman web untuk memberi peluang kepada yang terlepas membuat tempahan. – rideapart/KTM