Artikel Pilihan

KOENIGSEGG – DULU PENGELUAR KECIL KINI GERGASI DUNIA HYPERCAR

Ada sesuatu yang istimewa dengan produk keluaran Sweden sehingga mempunyai peminat yang ramai di seluruh dunia. Antara produk paling terkenal mereka ialah Volvo dan Ikea dan kini satu lagi jenama unggul mereka yang menakluk dunia ialah Koenigsegg. Agak ironik kerana dari negara yang menghasilkan kereta paling selamat di dunia (Volvo), mereka juga turut mengeluarkan kereta paling laju memecut di dunia (0-400 km/j).

Ia juga telah berjaya mengatasi kelajuan pecutan Bugatti dan Hennessey (kereta, bukan minuman keras okey). Menariknya lagi Koenigsegg ini merupakan sebuah syarikat yang masih muda remaja, tak sampai pun 30 tahun umurnya.

‘Projek Koenigsegg’ ini telah dimulakan pada tahun 1994 dan berkembang menjadi Koenigsegg Automotive AB. Tapi idea dan konsep ini sebenarnya telah tertanam dalam fikiran Christian von Koenigsegg sejak beliau berusia 5 tahun. Beliau mempunyai impian untuk membangunkan kereta sendiri selepas menyaksikan sebuah filem bertajuk Flaklypa Grand Prix yang mengisahkan tentang seorang pembuat basikal yang kemudiannya berjaya menghasilkan kereta lumba sendiri.

Idea tersebut kekal dalam fikiran Koenigsegg selama-lamanya. Bila meningkat dewasa, beliau bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat oengedar Suzuki dan menempa nama sebagai tuner moped. Sedikit persamaan dengan filem tentang pembuat basikal yang menjadi inspirasi beliau.

Tapi pada tahun 1994, projek Koenigsegg dimulakan sebagai merealisasikan impian masa kecil beliau. David Craaford telah dilantik sebagai pereka dan ditugaskan untuk mereka sebuah prototaip berdasarkan panduan yang diberikan Koenigsegg.

Koenigsegg CC walaupun direalisasikan oleh Craaford merupakan hasil lakaran tangan asal Koenigsegg sendiri. Prototaip itu akhirnya berjaya disiapkan menjelang 1996. Idea asal penghasilkan CC ialah untuk menghasilkan sebuah kereta yang mampu mengatasi McLaren F1 dalam semua segi. Satu daripada tujuan asal ialah agar ia boleh melepasi had kelajuan maksima 386 km/j.

Pembangunan Koenigseg berterusan dengan segala ujian dilakukan dengan tidak melengahkan masa. Mereka turut memperkenalkan pintu dihedral helix yang kini sudah menjadi ciri unik Koenigsegg. CC asal menggunakan enjin 4.2-liter V8 dan kotak kotak manual 6-kelajuan yang dibeli dari Audi. Cukup berkesan sewaktu ujian tetapi untuk tahap pengeluaran, mereka perlukan enjin yang lebih baik. Menjelang 2002, versi produksi CC telah disiapkan dan dinamakan CC8S, hanya 8 tahun selepas projek ini dmulakan.

Koenigsegg melengkapkan CC8S ini dengan enjin 4.7-liter turbo berkembar Ford V8 dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Ia menghasilkan 646 bhp kuasa terus ke roda belakang. Pecutan 0-100 mengambil masa kurang 3.5 saat dan Christian berjaya mencapai sasaran untuk melepasi had 386 km/j. CC8S sangat penting bukan hanya sebagai model sulung mereka tetapi sebagai petunjuk yang jenama mereka berkemampuan menghasilkan model hebat dalam cubaan pertama.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai pelbagai ciri unik seperti panel bumbung ala targa yang boleh disimpan di dalam but belakang, panel badan dan casis yang dihasilkan daripada gentian karbon agar lebih kukuh dan ringan. CC8S sememangnya merupakan sebuah hasil karya empat roda terunggul.

Mazda CX30

BACA: SEJARAH MINI COOPER DARI AWAL HINGGA AKHIR – F1 PUN ADA PENGARUH MINI TAU (+VIDEO)

Tapi bencana menimpa bila kilang asal Koenigsegg terbakar pada tahun 2003 memaksa mereka berpindah ke tempat baru, sebuah pangkalan tentera udara yang kemudian menjadi medan Koenigsegg menguji kereta-kereta mereka. Di tempat baru ini jugalah Christian von Koenigsegg mendapat ilham logo hantu yang diletakkan pada model-model mereka.

CC8S kemudiannya digantikan dengan CCR yang kemudiannya digantikan pula dengan CCX pada tahun 2006. Ia menjadi model yang cukp penting kerana buat pertama kalinya Koenigsegg menghasilkan enjin sendiri untuk kereta mereka. 4.7-liter V8 supercharged berkembar yang mampu menghasilkan 795 hp kuasa. Mereka kemudiannya memperkenalkan model edisi khas dinamakan CCXR Trevita dengan penambahan kuasa sehingga 1000 hp!

Dari saat itu, Koenigsegg terus mengejar kemajuan teknologi, penggunaan material ringan dan kuasa terbaik untuk kereta keluaran mereka. Tapi pada masa yang sama beliau mahukan kereta yang selamat dan stabil yang mampu menguruskan kelajuan yang dijana oleh enjin kereta tersebut. Ia juga mesti mempunyai suspensi yang hebat agar mampu membolehkan kereta mereka mengambil selekoh dengan laju tetapi pada masa yang sama selesa untuk pemandu dan penumpang. Hasilnya lahirlah Agera pada tahun 2011 dengan enjin 5.0-liter V8 turbo berkembar dengan 927 hp kuasa.

Agera mencipta reputasi sebagai sebuah hypercar yang cukup selesa dipandu di atas jalan raya biasa dan juga di litar lumba. Setiap model dihasilkan berdasarkan spesifikasi yang dimahukan oleh pemilik. Sama seperti CCX sebelumnya, ia juga ditawarkan dalam entuk edisi terhad contohnya Agera 1:One (One to One). Ia dikatakan sebuah kereta mega pertama kerana mampu menghasilkan 1 megawatt kuasa (1000kW/1,341 hp). Ia juga mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang cukup sempurna 1:1 dan mempunyai pelbagai ciri istimewa lain yang membolehkannya mengalahkan Bugatti Veyron Super Sport.

Ia bukan sekadar dakwaan semata-mata kerana pada November 2017, sebuah Agera RS yang dilengkapi dengan pakej kuasa 1 Megawatt telah diuji di jalan raya AS atas permintaan pelanggan yang mahukan Koenigsegg membuktikan kehebatan model mereka. Dua ujian kelajuan dilakukan dengan kelajuan purata berjaya dicatatkan ialah 447 km/j dan catatan pada jalan lurus pula ialah 458 km/j! Jadi apa pula selepas ini dari Koenigsegg?

Tunggu sahaja pengganti Agera, sebuah GT hiper baru yang dinamakan Regera. Nantikan kemunculannya daripada sebuah syarikat yang ditubuhkan cuma berbekalkan lakaran tangan Christian von Koenigsegg yang kemudiannya menjadi sebuah syarikat pengeluar kereta hiper yang unggul.

GALERI:

Tags
Google ads
Back to top button