Motosikal

HARLEY-DAVIDSON OF PETALING JAYA DILANCARKAN SECARA RASMI

Pengeluar motosikal Amerika Syarikat, Harley-Davidson melantik pengedar tunggal baharunya untuk pasaran di Malaysia, DIDI Resources Sdn. Bhd. (DRSB).

Melalui pelantikan itu, DRSB membuktikan komitmennya terhadap jenama Harley-Davidson apabila membuka pusat 3S pertama di Petaling Jaya.

Dikenali sebagai Harley-Davidson of Petaling Jaya, ia dikendalikan oleh Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd.

Ia merupakan anak syarikat Goh Brothers Capital yang sebelum ini menjual beberapa jenama automotif lain di Malaysia.

Selepas Harley-Davidson di Petaling Jaya, DRSB dijangka membuka dua lagi cawangan di Pulau Pinang dan Melaka.

Terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya, Harley-Davidson of Petaling Jaya mempunyai keluasan 20,000 kaki persegi.

Ruang tersebut bukan sahaja mempamerkan rangkaian model terkini Harley-Davidson, malah model seperti model ulang tahun ke-115 tahun edisi terhad Street Glide, Road Glide Special dan barisan model Softail 2018 turut dipamerkan.

Peminat jenama Harley-Davidson boleh membeli pelbagai barangan eksklusif, di samping aksesori dan alat ganti tulen di premis tersebut. Demi menawarkan perkhidmatan servis terbaik, pusat 3S itu mempunyai enam ruang penyelenggaraan yang dikendalikan oleh juruteknik berpengalaman.  

Para pemilik jentera Harley-Davidson (termasuk yang dibeli daripada pengimport parallel),  mereka tidak lagi perlu bimbang mengenai aspek penyelenggaraan. Ini kerana Harley-Davidson of Petaling Jaya akan menerima motosikal mereka untuk diselenggara.

Pengarah Urusan Harley-Davidson Pasaran Membangun Asia, Johan Kleinsteuber menyatakan pihaknya mahu menguatkan lagi rangkaian jenama tersebut di negara ini.

“Kami mahu menyediakan keperluan kepada pemilik Harley-Davidson sedia ada atau baharu yang meminati jenama ini,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Pameran Harley-Davidson of Petaling Jaya.

Sempena pembukaan rasmi ini, Harley-Davidson of Petaling Jaya mengumumkan penubuhan H.O.G Petaling Jaya Chapter Malaysia. Ia akan menjadi platform untuk pengedar berhubung dan mengujakan para pelanggannya.   

Google ads
Back to top button