Artikel Pilihan

LAGENDA ITALI SEPANJANG ZAMAN – FERRARI F40!

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera. Ferrari, satu jenama yang sangat gah di dalam dunia Automotif. Lambang kemewahan serta kelajuan. Jenama ini dikenali oleh semua golongan tidak kira bangsawan mahupun marhaen.

WalauVbagaimanapun, terdapat banyak model Ferrari sejak produksinya bermula pada tahun 1947 sehinggalah sekarang. Kali ini kita fokus tentang perihal sebuah model yang sangat hebat dan merupakan salah satu karya agung Ferrari iaitu Ferrari F40.

Ceritanya bermula apabila Ferrari mahu bersaing dengan Porsche melalui jentera 959 mereka di dalam perlumbaan FIA Group B pada tahun 1987. Oleh itu, pihak Ferrari kemudian menaiktaraf model 288 GTO mereka. Terdapat 6 model yang dinaiktaraf dan diberikan nama baru iaitu 288 GTO Evoluzione. Jentera ni power, sangat power. Tapi sekarang kita fokus dengan F40 dulu.

Disangka hujan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tragedi melanda pada World Rally Champioship Group B apabila banyak kemalangan serta kematian yang berlaku. Dipendekkan cerita, kelas Group B dimansuhkan dan tidak lagi dipertandingkan. Oleh itu, projek 288 GTO Evoluzione ini terhenti begitu sahaja.

Namun ada sinar di hujung jalan apabila Enzo Ferrari mahukan sebuah jentera untuk meneruskan legasi 288 GTO dan sesuai digunakan di jalan raya. Senang kata, kereta lumba yang sah digunakan di jalan raya.

Jentera ini direka oleh Leonardo Fioravanti dan Pietro Camardella dari firma Pininfarina. Kedua-dua pereka ini diselia oleh Nicola Materazzi, iaitu jurutera yang bertanggungjawab mereka dan menghasilkan enjin, sistem transmisi dan komponen mekanikal yang lain untuk jentera ini.

Sekarang kita cerita pasal laju. Bukan 0-100km/h, tapi yang saya maksudkan adalah proses. Proses pembangunan jentera ini adalah sangat cepat iaitu 13 bulan sahaja. Ye Tuan-Tuan, 13 bulan sahaja daripada rekaan di atas kertas sehinggalah terciptanya satu karya agung buatan manusia.

Yang menariknya, pihak Ferrari membangunkan jentera ini secara rahsia. Tiada sesiapa pun yang tahu bagaimana rupa jentera ini sehingga ia dilancarkan selain daripada Enzo Ferrari dan barisan pekerjanya.

Pelancaran jentera ini dibuat pada 21 Julai 1987. Nama F40 ini diambil sempena ulangtahun ke-40 syarikat Ferrari.

Ketika ia dilancarkan, seluruh dunia tertumpu kepada jentera ini. Rekaannya yang unik sekaligus mencorakkan masa depan Ferrari seperti yang kita lihat sekarang.

Jentera ini juga merupakan jentera terakhir yang diluluskan oleh Enzo Ferrari sendiri. Jentera ini juga merupakan jentera Ferrrari yang paling power, paling laju dan paling mahal ketika ia dilancarkan. Ferrari F40 adalah model Ferrari yang paling Ferrari sekali.

Sekarang kita pergi pada spesifikasi jentera ini.

Cesi jentera ini dibina daripada gabungan “Tubular Steel” serta “Composite”. Bahagian panel badan jentera ini pula dibuat daripada “Kevlar”. Cesi jentera ini kemudiannya dipasang dengan set suspensi “Unequal-Length Wishbone”, “Telescopic Shock Absorber” bersama “Anti Roll Bar”.

Amende “Unequal-Length Wishbone” ni ?

Secara harfiahnya “Unequal-Length Wishbone” ini juga dikenali sebagai “Short Long Arm Suspension” (SLA). Sistem ini diterjemahkan dengan “Upper Arm” lebih pendek daripada “Lower Arm”.

Tidak seperti sistem suspensi “Double Wishbone” biasa di mana “Upper Arm” dan “Lower Arm” adalah sama panjang. Konsep sistem ini juga boleh dikatakan sama seperti “Multilink” dan “Dual Joint Ball Suspension”.

Kelebihan sistem ini adalah nilai “Camber” yang sentiasa berubah ketika jentera bergerak sekaligus memastikan sentuhan tayar ke permukaan jalan sentiasa berada dalam keadaan maksimum. Apabila keadaan ini terjadi, kecekapan jentera ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi bertambah. Ia juga membantu supaya kehausan tayar berlaku secara sekata.

Setel bab suspensi. Sekarang kita pergi bab enjin.

Jentera ini dijana oleh enjin Tipo F120A V8 Twin-Turbo bersesaran 2,936cc (2.9L). Material enjin ini kebanyakannya menggunakan “Alumunium Alloy” di samping “Magnesium” bagi beberapa komponen utama seperti “Oil Sump”, “Cylinder Head Cover”, “Intake Manifolds” dan “Gearbox Bell Housing”.

Hasratnya cuma satu, iaitu ringan. Takpe, walaupun harganya berat.

Habis cerita pasal material, dugaan besar yang ditempuh oleh pihak Ferrari adalah untuk menjadikan enjin ini “Drivable”. Boleh “dipandu”.

Pemilihan turbo juga dilakukan secara teliti apabila pihak Ferrari menjemput pihak pengeluar turbo KKK dan IHI untuk melakukan pandu uji berdasarkan kedua-dua turbo ini. Yang menariknya pihak KKK sendiri mengakui bahawa turbo yang dibekalkan IHI adalah lebih baik dan mereka berjanji untuk menaiktaraf turbo mereka.

Namun hubungan baik mereka menerusi usahasama di Formula One tidak membantu apabila pihak Ferrari memutuskan untuk menggunakan turbo dari pihak IHI.

Seterusnya adalah penalaan. Sistem kawalan enjin ini dilakukan secara elektronik dan pihak yang bertanggungjawab melakukan penalaan adalah firma yang berpangkalan di Bologna, Itali iaitu Weber-Marelli.

Jurutera mereka sanggup berulang alik dari Bologna ke Maranello hanya untuk melakukan pandu uji dan kemudiannya balik untuk melakukan pembetulan penalaan. Sehinggalah penalaan yang sempurna dilakukan.

Bukan senang nak menala enjin yang ada 16 Injektor ni. Apa ? 16 ? Ye Tuan-Tuan. 16 Injektor, satu silinder 2 Injektor.

Akhirnya, penalaan akhir ditetapkan dengan nilai “Boost” ditetapkan pada kadar 1.1 bar. Hasilnya? 471bhp pada 7,000rpm dan daya kilas sekuat 577Nm pada 4,000rpm.

Kuasa yang liar ini seterusnya dihantar ke unit klac “Twin-Plate” bersaiz 8.5 inci dan kemudiannya ke kotak gear MANUAL 5-kelajuan. Punyalah nak jaga ketahanan sehinggakan kotak gear manual inipun mempunyai “Oil Cooler” tersendiri.

471bhp saja ? Takpe, mungkin korang gelak. Tapi perlu diingat jentera ini hanya seberat 1,100kg sahaja. Ia mampu memecut dari 0-100km/h hanya pada kadar 4.6 saat dan mencapai kelajuan tertinggi 324km/h. Ni tahun 1987 Tuan-Tuan. 33 tahun lepas. Zaman tu kita baru berbangga ada Proton Saga.

Untuk menjinakkan jentera buas ini semestinya sistem brek yang baik diperlukan.

Jentera ini dilengkapi dengan rotor bersaiz 330mm beserta “4-Pot Caliper” pada depan dan belakang. Pembikinan brek ini juga rumit di mana sistem brek ini menggunakan “Floating Disc” sama seperti yang digunakan pada jentera Formula One.

Hasratnya cuma satu, iaitu ringan. Cabaran utama yang harus ditempuhi oleh pihak Ferrari ialah masalah utama “Floating Disc” iaitu gegaran. Kredit patut diberikan kepada mereka apabila masalah ini dapat diatasi dengan rekaan hub yang khusus untuk jentera ini.

ABS? Kalau pasang sistem ni berat akan bertambah. Tidak perlu. Servo ? Makan ruang. Tidak perlu. Tiada ABS dan tiada Servo. Jurutera membuat rekaan khas bagi sistem brek supaya apabila pedal brek ditekan, kesannya sama seperti ketika Servo digunakan. Bijak betul mereka ni.

Mungkin ada yang tanya, kalau ABS dan Servo pun tiada, “Power Steering” pun tiada lah ye? Benar Tuan-Tuan, jentera ini menggunakan sistem “Paut Steering”. Lagipun jentera ini tak mungkin dipandu ke tempat-tempat sempit.

Jentera ini menerima set rim “Ferrari 5-Spoke Patern” bersaiz 17 X 8″ bagi hadapan dan 17 X 13″ bagi belakang. Rim ini kemudiannya dibaluti oleh tayar Pirelli P700s bersaiz 244/40ZR17 di bahagian hadapan dan 335/35ZR17 bagi bahagian belakang. Set rim dan tayar ini dipasang pada hub dan diikat menggunakan satu nat alumunium yang besar (Center Lock). Sama macam jentera Formula One.

Bahagian dalaman sangat-sangat ringkas. Yang kita boleh nampak hanya ada roda stering, tuil gear, panel penghawa dingin dan sepasang kerusi “Full Bucket”. Radio? Berat, jadi tidak perlu.

Penghawa dingin pun dipasang hanya untuk menstabilkan suhu di dalam kabin disebabkan haba yang terhasil di ruang enjin. Karpet? Berat, tidak perlu. Papan pintu? Berat, tidak perlu.

Ini kereta lumba, bukan untuk selesa tetapi untuk dipandu laju. Seperti yang Enzo Ferrari mahukan, kereta lumba yang sah dipandu di jalan raya.

Secara ringkasnya, Ferrari F40 merupakan sebuah jentera yang mempunyai berat 1,100kg dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 324km/h. menggunakan kotak gear 5-kelajuan manual.

Tiada ABS dan Servo. Tiada “Power Steering”. Tiada papan pintu, radio, dan karpet. Ia merupakan jentera Ferrari paling laju dan paling mahal ketika itu. Ia juga jentera terakhir yang dihasilkan ketika Enzo Ferrari masih hidup.

Produksi jentera ini adalah sekitar 1,311 unit di seluruh dunia. Ketika dilancarkan, harganya sekitar USD400,000 (USD900,000 nilai sekarang) bersamaan lebih kurang RM4 juta.

Sekarang jika kita melakukan carian bagi harga jentera ini, harga yang ditawarkan adalah sekitar USD1,500,000 bersamaan lebih kurang RM6.6 juta sebelum cukai.

Di Malaysia dulu wujud sebuah Ferrari F40 dan kewujudannya menjadi kecoh apabila jentera tersebut kemalangan di Federal Highway. Katanya milik anak bekas pemimpin negara.

Akhir kata, jentera Ferrari F40 ini sentiasa menjadi buruan orang-orang kaya di seluruh dunia untuk dijadikan koleksi. Jentera ini merupakan legasi Enzo Ferrari yang ditinggalkan oleh beliau kepada dunia. Jentera ini juga merupakan aras panduan kepada jenama lain untuk menilai tahap keupayaan jentera mereka, sama ada lebih baik dari F40 atau lebih teruk. Ferrari F40 lah penanda aras tuan tuan.

Google ads
Back to top button