Buletin

LAMBORGHINI AKAN TERUS MENGGUNAKAN ENJIN V12 – SELAMA TERMAMPU

Lamborghini menegaskan yang mereka akan terus mengekalkan identiti mereka pada supercar keluaran mereka selepas di mana semuanya akan kekal menggunakan enjin V12. Malah ia sebenarnya seolah-olah merupakan nyawa untuk Lamborghini.

Perkara ini disentuh oleh ketua R&D mereka, Maurizio Reggiani yang akan memastikan enjin V12 tetap kekal dan bertahan meskipun kini dunia automotif semakin meriah dengan penggunaan teknologi EV.

Reggiani menyatakan enjin V12 perlu terus menjadi nadi supercar Lamborghini kerana ia menghasilkan bunyi dan emosi yang unik selain cukup responsif. Namun beliau mengakui akan muncul pelbagai cabaran untuk mengekalkan enjin ini di masa hadapan.

Buat masa ini, enjin V12 digunakan pada model Aventador dan dikatakan akan terus dilengkapkan pada pengganti model itu di masa akan datang. Selain Aventador, satu model yang menggunakan enjin V12 ialah Veneno, model edisi terhad yang super rare keluaran mereka.

Lamborghini turut menggunakan enjin V10 pada model Huracan keluaran mereka. Ia merupakan pengganti kepada Gallardo yang turut menggunakan enjin V10.

BACA: LAMBORGHINI TERZO MILLENIO – SECEBIS BAYANGAN MASA DEPAN

Selain Ferrari yang merupakan pesaing terdekat mereka, Lamborghini adalah syarikat pengeluar yang paling banyak menghasilkan kenderaan dengan enjin V12. Ada juga syarikat lain yang mengeluarkan model dengan enjin V12 seperti BMW, Audi dan Aston Martin tetapi hanya Lamborghini yang cukup komited dan taksub dengan enjin V12.

Sebenarnya bagi kami supercar seperti Lamborghini memang patut dikekalkan identitinya kerana ia memang bukan dicipta untuk menjadi model mesra alam sekitar. Ia dibina untuk prestasi untuk sesiapa sahaja yang mampu memilikinya.

Bahkan jumlahnya pun bukannya banyak sangat di atas muka bumi ini. Percayalah bahawa jumlah Myvi di Malaysia jauh lebih banyak daripada jumlah Aventador dan Huracan di atas seluruh muka bumi.

Lagipun lagi bahaya juga kalau kereta-kereta laju seperti Lamborghini mengggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Biasa kita akan mendengar deruman enjinnya dari jauh tetapi dengan tenaga elektrik sedar-sedar dah ada di belakang kereta kita ataupun dibelakang (maklumlah bunyi ekzos dah tak ada). Terkejut kau dibuatnya. Tapi ni ikut lojik Pak Amid lah, mungkin korang ada pendapat korang sendiri.

Google ads
Back to top button