Artikel Pilihan

LAMPU HALOGEN VS HID XENON VS LED

Beberapa bulan sebelum ini saya ada menaikkan satu artikel berkenaan “housing lamp” ataupun perumah lampu. Lampu biasanya akan menggunakan perumah lampu dengan teknologi reflektor ataupun projektor sebagai lampu utama. Namun untuk lampu yang tinggi, ia boleh menggunakan gabungan teknologi reflektor dan juga projektor dalam satu pakej.

Beberapa pilihan teknologi yang ada pada hari ini boleh dipertimbangkan sebagai sumber cahaya seperti mentol halogen, mentol HID (High Intensity Discharge) Xenon dan juga mentol LED (Light Emitting Diode). Ketiga-tiga mentol ini boleh dipasang pada mana mana lampu sama ada reflektor dan juga projektor kecuali hanya mentol HID Xenon yang wajib dipasang dengan projektor dan datang dengan satu skrin pelindung bagi menghalang cahaya yang terlampau terang membutakan mata pemandu dari depan.

Lumen

Sebelum kita sembang jauh berkenaan cahaya mari kita kenal dulu dengan unit kekuatan cahaya. Lumen atau unit Standard International merupakan singkatan kepada luminous flux merupakan satu ukuran bagi mengukur kekuatan cahaya Nampak yang dikeluarkan oleh satu sumber. Lumen boleh diwakilkan dengan simbol “lm” dan 1 lumen per 1 meter luas dipanggil sebagai 1 lux. Semakin tinggi nilai lux, semakin terang sumber cahaya tersebut.

Halogen

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Lampu ataupun mentol halogen merupakan lampu yang terdiri daripada filamen tungsten dalam satu lapisan kaca yang diisi dengan campuran gas lengai (gas yang tidak bertindak balas secara kimia) dan juga gas Halogen. Gas halogen merupakan satu kumpulan kimia di dalam jadual berkala kimia yang terdiri daripada florin, klorin, Bromin, Iodine dan Astetin.

Tenaga elektrik akan dialirkan pada filamen tungsten tersebut sehingga ia menyala pada suhu sekitar 250 darjah Celsius dan akan memancarkan cahaya Nampak. Kombinasi gas halogen dan filamen tungsten akan menghasilkan Kitaran Halogen di dalam mentol pada filamen tungsten dan menghalang proses oksidasi daripada terjadi pada filamen tungsten tersebut. Proses tersebut akan memanjangkan jangka hayat mentol

Mentol halogen memiliki kelebihan lain seperti ia boleh dipakejkan dalam saiz yang lebih kecil berbanding dengan mentol bukan halogen serta ia bernyala pada suhu yang lebih tinggi. Disebabkan suhu yang lebih tinggi, ia boleh menghasilkan cahaya yang berwarna putih berbanding dengan mentol biasa dan hasilnya ia lebih terang berbanding dengan mentol bukan halogen.

Mentol halogen dengan kategori 5000 K (Kelvin) biasanya akan menghasilkan warna sedikit kebiruan (bluish) manakala mentol dalam julan 2500-3000 K akan menghasilkan warna kekuningan.

HID Xenon

High Intensity Discharge ataupun Lampu HID ataupun kadangkala dikenali juga dengan nama HID Xenon. Gas Xenon digunakan sebahagi gas lengai di dalam pembinaan mentol ini. Ia merupakan satu jenis mentol yang menghasilkan cahaya apabila cas elektrik dipaksa melalui gas yang diionkan. Semasa pergerakan cas elektrik melalui gas yang diionkan, geseran cas elektrik dengan gas akan menghasilkan cahaya nampak dan juga haba.

Terdapat beberapa pilihan gas yang digunakan untuk menghasilkan mentol ini seperti Helium, Neon, Argon, Kripton, Xenon dan juga Radion yang diisi di dalam tiub arka. Selain daripada gas, terdapat unsur besi dan garam yang diisi di dalam tiub arka tersebut. Sebaik sahaja cas elektrik dilalui di dalam tiub ia akan menghasilkan cas arka dengan bantuan gas Xenon dan ia akan memanaskan campuran unsur besi dan garam di dalam tiub sehingga ia tersejat. Kehadiran unsur besi dan garam di dalam tiub arka ini  akan meningkatkan kekuatan cahaya nampak.

Disebabkan pembinaan mentol yang kompleks berbanding dengan mentol halogen maka kosnya akan menjadi mahal dan cahaya yang dihasilkan adalah lebih terang dengan jumlah Watt yang sama digunakan oleh mentol halogen. Ini kerana proses ini menghasilkan cahaya Nampak berbanding dengan cahaya infra merah.

Disebabkan ia terlampau terang, maka proses pembinaan perumah lampu memerlukan ia dipasang dengan satu skrin khas bagi mengelakkan silau pada pemandu hadapan dan juga suis pelarasan bagi mengubah sudut suluhan lampu.

Lampu LED

Light Emitting Diode merupakan sejenis lampu yang menghasilkan cahaya menerusi semikonduktor apabila cas elektrik melalui diod. Elektron di dalam semikonduktor akan bergabung semula dengan kumpulan electron dan semasa proses tersebut foton akan dibebaskan. Warna cahaya yang dihasilkan bergantung tenaga elektron untuk “melompat” di dalam semikonduktor.

Cahaya putih dihasilkan dengan menggunakan pelbagai lapisan semikonduktor atau lapisan fosfor pada semikonduktor. Kelebihan menggunakan LED ialah walaupun saiznya yang kecil namun menghasilkan lumen/watt menjadikan ia pilihan utama untuk beberapa pengeluar kereta. Namun berbeza dengan mentol lain yang menggunakan arus elektrik ulang alik LED pula menggunakan arus terus dan perlu ditukar pada arus terus jika digunakan sebagai lampu rumah

Antara kelebihan lain menggunakan LED ialah ia tidak memerlukan masa pemanasan untuk beroperasi seperti HID. Lampu LED sedia untuk beroperasi dalam masa beberapa mikro saat sahaja berbanding dengan HID Xenon yang memerlukan beberapa saat untuk membentuk cahaya arka.

Kelebihan dan Kelemahan Halogen

  1. Lampu Halogen biasa dipilih oleh pengeluar untuk kereta “entry level” kerana kos pembuatan mentol dan perumah lampu untuk halogen adalah murah untuk dihasilkan dan juga memudahkan pengguna menukar mentol tersebut jika berlaku kerosakan.
  2. Kos penggantian murah – Sebagai contoh mentol H7 untuk Perodua Alza hanyalah sekitar RM 20 satu unit jika ia perlu diganti dan proses pembuatanya juga adalah mudah.
  3. Antara Kelemahan Halogen ialah proses penghasilan cahaya melalui nyalaan tungsten menggunakan suhu sekitar 250 darjah Celsius dan pembaziran tenaga haba yang disingkirkan pada persekitaran dan menggunakan tenaga elektrik yang tinggi.
  4. Lux iaitu kekuatan cahaya iluminasi per meter hanyalah sekitar 900 lux bagi lampu rendah dan antara 2000-2200 lux ketika lampu tinggi.
  5. Disebabkan haba, tungsten senang terbakar dan teroksida apabila ia digunakan selama 1000jam secara purata. Ia akan menjadi malap atau terus terbakar dan padam.

Kelebihan dan Kelemahan HID

  1. Lampu Halogen biasa dipilih oleh pengeluar untuk kereta “flagship model” kerana suluhan cahaya yang dihasilkan adalah sangat terang iaitu maksima 1500 lux untuk lampu rendah dan 3700 lux untuk lampu tinggi.
  2. Dari segi kegunaan tenaga, walaupun HID menggunakan tenaga yang tinggi semasa mula dihidupkan namun penggunaan tenaga adalah rendah apabila ia mencapai suhu operasi optimum. Secara purata penggunaan tenaga HID adalah lebih rendah berbanding halogen
  3. Lampu HID Xenon mampu bertahan sehingga 2000 jam operasi untuk minima dan 8000 jam untuk operasi maksima
  4. Namun kos pembuatan yang tinggi menjadi penghalang utama lampu HID Xenon digunakan secara meluas untuk semua model kereta.
  5. Cahaya yang dihasilkan juga menjadi terlampau terang dan undang – undang JPJ menghalang mana mana pemasangan yang tidak sah selain pemasangan asal yang dibuat di kilang.

Kelebihan dan Kelemahan LED

  1. Lampu LED adalah lebih kecil berbanding dengan halogen dan HID dan disukai oleh perekabentuk kerana ia lebih fleksibel dan menarik perhatian pengguna.
  2. Ia memancarkan cahaya setinggi 1800-2200 lux untuk lampu rendah dan sekitar 3600 lux untuk lampu tinggi. Namun penggunaan tenaga elektriknya amat rendah jika dibandingkan dengan HID dan halogen. Pada masa yang sama ia tidaklah menyebabkan silau pada pengguna lain
  3. LED memiliki jangka hayat sekitar 35,000-50,000 jam bergantung pada keadaan operasi LED.
  4. Walaupun LED tidak panas namun ia memerlukan sistem penyejukan bagi menyejukkan keseluruhan pakej sistem elektronik yang mengawal lampu LED. Sistem penyingkiran haba diperlukan untuk tujuan penyejukan
  5. Jika dibandingkan dengan Halogen, kos pembuatan LED adalah lebih mahal termasuklah kos penggantian semula jika diperlukan
  6. Disebabkan ia memerlukan pakej penyejukan untuk beroperasi sebagai lampu utama, ia memerlukan ruang pemasangan yang agak besar dan kompleks. Oleh yang demikian lampu LED biasa digunakan sebagai lampu penunjuk kedudukan di bahagian belakang.

Tags
Google ads
Back to top button