Buletin

LAND ROVER MAHU BINA DEFENDER LEBIH MEWAH. PLATFORM MLA, RANGKAIAN KUASA ICE, PHEV DAN BEV

Land Rover dilapor mahu memanfaatkan kejayaan jenama Defender dengan bakal menawarkan lebih banyak varian. Selain Defender 130 dengan kapasiti lapan tempat duduk yang dijangka diperkenalkan pada tahun 2022, Land Rover kini sedang sibuk membina beberapa lagi varian Defender. 

Antaranya ialah Defender SVO berkuasa tinggi, model lebih mewah yang dibina di atas platform Range Rover dan mungkin juga trak pikap Defender. 

Platform MLA baharu yang akan digunakan untuk Range Rover dan Range Rover Sport generasi baharu dilihat sebagai platform terbaik untuk model model mewah Defender. Ini kerana ia memiliki saiz karekter dan keupayaan untuk dipasang dengan rangkaian kuasa ICE, PHEV serta BEV. 

Jentera itu tetap akan menjanjikan keupayaan terbaik di laluan off-road, selain digabungkan bersama kualiti pengendalian lebih baik, ruang dalaman yang premium. 

Sedia maklum bahawa keluarga Land Rover kini terdiri daripada  Discovery (Discovery Sport, Discovery), Range Rover (Evoque, Velar, Range Rover Sport, Range Rover Classic) dan Defender (90, 110, 130). Jadi pengembangan model baharu dilihat wajar untuk menjana keuntungan lebih tinggi. 

Rangkaian enjin pula meliputi enjin petrol enam silinder 3.0 liter dan diesel yang dipadankan bersama teknologi mild-hybrid dan plug-in hybrid, selain enjin V8 untuk varian berkuasa tinggi. Versi elektrik sepenuhnya juga akan dihasilkan untuk bersaing secara langsung dengan Mercedes-Benz EQG. 

Land Rover juga dilaporkan sedang menimbang untuk menghasilkan Defender aras mula yang dibina di atas platform Electric Modular Architecture (EMA). Tetapi, dengar kata rancangan itu telah dibatalkan dengan platform EMA akan digunakan oleh Evoque dan Discovery Sport generasi baharu yang dilengkapi rangkaian kuasa PHEV dan BEV. 

Defender dengan platform MLA yang dikenali sebagai varian 90, 110 dan 130 dijangka berada di pasaran pada hujung tahun 2024 atau awal 2025. Harganya pula dikatakan bermula £59,000 (RM289,000). 

Google ads
Back to top button