Buletin

LEBUHRAYA KB-KUALA KRAI DIJANGKA SIAP 2024 – MUSTAPA

Projek lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 74 kilometer yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, setakat ini beberapa fasa sudah siap sebanyak 50 peratus. Sementara bakinya akan disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.

Beliau berkata projek lebuh raya Kuala Krai ke Gua Musang dan seterusnya ke sempadan Pahang turut dibincangkan. Semuanya kini berjalan lancar, namun masih tertumpu kepada isu peruntukan.

Seperti kebiasaan, Mustapa berkata Kelantan akan memohon peruntukan yang disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membolehkan cita-cita Kelantan untuk mempunyai lebuhraya tercapai.

Dalam perkembangan sama, Mustapa turut diberi taklimat mengenai cadangan bagaimana boleh melancarkan lagi pembangunan di Kelantan, terutama berkaitan perbelanjaan penyelenggaraan jalan.

“JKR Kelantan berpandangan banyak jalan-jalan perlu diselenggara dengan lebih baik dan sudah pastinya diberi tambahan peruntukan.

“Satu lagi cadangan ialah mengenai mewujudkan semula Jawatankuasa Tender di peringkat negeri melibatkan projek di bawah RM20 juta yang sekarang ini sudah tiada.

“Saya difahamkan jawatankuasa ini boleh mempercepatkan lagi pertimbangan ke atas beberapa projek di negeri ini,” katanya. – Bernama.

Google ads
Back to top button