Artikel Pilihan

LELAKI BERUSIA 110 TAHUN INI MERUPAKAN PEMINAT FORD SEJATI

Ini kisah tentang seorang veteran Perang Dunia Kedua yang berusia 110 tahun sekaligus menjadikan beliau veteran perang yang paling tua masih hidup. Richard Overton ialah seorang pesara tentera Amerika Syarikat yang dilahirkan di Bastrop County, Texas pada tahun 1906.

Beliau pernah berkhidmat dengan Batalion Jurutera Penerbangan 1887 di selatan Pasifik sebagai jurutera pertempuran. Kini beliau menetap berseorangan di Austin dalam sebuah rumah yang dibina oleh beliau sendiri pada tahun 1945.

Sebuah dokumentari telah diterbitkan oleh sebuah syarikat televisyen dengan tajuk ‘Mr. Overton’. Di dalam dokumentari itu, Overton menyatakan yang beliau masih boleh berjalan, bercakap dan memandu sendiri.

BACA: LELAKI 97 TAHUN INI PEMILIK MUSTANG TERTUA DI DUNIA

Bab memandu sendiri tu memang kami cukup kagum, Pak Amid yang belum sampai umur warga emas pun hari-hari mengeluh sakit kaki bawak kereta datang pejabat.

Apakah jenis kenderaan yang dipandu beliau? Adakah sebuah Viva gear automatik? Atau Bezza yang boleh mengisi 20 buah beg pakaian dalam but tapi penumpang duduk belakang sakit pinggang?

Maaf kerana beliau seorang warga Amerika sejati yang setia dengan enjin V8. Setiap hari Richard Overton akan memandu sendiri sebuah Ford F-100 Custom beliau yang masih dalam keadaan yang sangat baik. Beliau akan ditemani teman wanita beliau yang berusia 91 tahun untuk ke mana-mana, baik ke kedai runcit mahupun ke gereja. (Siap ada awek lagi tu).

FORD F100 CUSTOM

Jika seorang otai memandu jentera V8 sudah membuatkan anda terkejut, Overton turut menyatakan yang beliau baharu sahaja memperbaharui lesen memandu beliau dan bila beliau pergi ke Jabatan Kenderaan Bermotor (DMV) Amerika Syarikat, beliau telah lulus semua ujian untuk memperbaharui lesen memandu.

Ford F-100 Custom ni merupakan nenek moyang Ford Ranger sebenarnya. Ia ditawarkan dengan enam pilihan enjin dari 3.9-liter sehinggalah ke 6.4-liter. Empat daripadanya merupakan enjin V8 yang mampu menghasilkan antara 205-255 bhp kuasa maksima. Itu angka dalam tahun 70-an. Zaman sekarang pun tak banyak trak pikap di Malaysia yang mampu mencapai angka tersebut.

Ayat beliau yang berikutnya lagi menarik. Menurut Overton, beliau telah lulus dalam semua ujian yang diberikan. “Saya memang sukakan pemanduan. Saya suka memandu sendiri, sebab pemandu lain, mereka sentiasa memandu seperti hilang akal, terutamanya Myvi Taliban. (Okey, bab Myvi Taliban tu kami tambah sendiri).

Overton turut menyingkap kisah beliau membeli kereta buat pertama kali dan sejarah permotoran peribadi beliau. Model pertama yang dibeli beliau juga merupakan sebuah Ford Model T dengan sistem penghidup putaran tangan yang klasik. Dia ni betul punya peminat Ford sejati.

Satu perkara lagi yang menarik mengenai Overton ialah beliau sentiasa membuat pembayaran tunai tanpa berhutang 9 tahun. Ford Model T pertama beliau dibeli secara tunai walaupun pendapatan beliau pada waktu itu hanyalah 50 sen sehari. Trak pikap Ford itu juga dibeli oleh Overton secara tunai.

Nampak tak macam mana otai mengurus kewangan. Bukan macam orang muda sekarang yang beli kereta dengan loan maksimum tapi baru seminggu keluar kedai dah sibuk cari sport rim 17 nak taruk dekat Myvi.

Jika anda berminat dengan kisah hidup seorang lelaki yang berusia lebih dari 100 tahun dan masih menghisap 12 batang cerut setiap hari dan memandu trak pikap. Saksikanlah dokumentari tentang Richard Overton di laman Youtube.

Menariknya, Overton turut berkongsi rahsia panjang umur beliau. Menurut beliau antara puncanya ialah beliau menjalani hidup bebas tekanan sejak bersara dari perkhidmatan Oktober 1945. Malah beliau juga memastikan pengambilan aspirin setiap hari (boleh percaya ke ni?). Takkan dia tipu kot?

Apapun kisah hidup beliau sehingga boleh kekal memandu pada usia lebih seratus tahun memang hebat. Itu juga merupakan impian kami jika panjang umur. Harap-harap masa tu kami dah mampu pakai Ford Raptor untuk pergi lepak kat masjid.

Amin.

sumber FOXNEWS

BACA: VETERAN PERANG TERIMA FORD MUSTANG DARI THE ROCK

BACA: LELAKI INI MILIKI KOLEKSI 700 KERETA UNTUK DILELONG

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button