Motosikal

LEPAK, MINUM, TENGOK & SERVIS MOTOR DI YAMAHA LIFESTYLE STATION

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini membuka pintu Yamaha Lifestyle Station kepada umum.

Dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-40, ia menjadi ruang pameran motosikal, pusat servis dan gaya hidup terbesar Yamaha di Malaysia. 

Bagi saya yang pernah beberapa kali bertandang ke ibu pejabat dan turut menempatkan kilang pengeluaran motosikal Yamaha di HLYM Sungai Buloh, perubahan yang dilihat memang sangat ketara.

Malah, ruang pameran baharu itu sebenarnya sepuluh kali ganda lebih besar (13,000 kaki persegi) berbanding sebelum ini. 

Ruang pameran di Yamaha Lifestyle Station dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah sejarah ringkas Yamaha Motor Corporation dan HLYM. Model-model lama seperti RX-S 100, Pasola, RX-Z, SRE dan banyak lagi turut dipamerkan. 

Sedia maklum bahawa Yamaha ada menghasilkan produk lain seperti jetski, enjin bot, generator kuasa dan instrumen muzik. Jadi, semua itu  ada untuk tatapan ramai. Untuk instrumen muzik, anda boleh membeli gitar, organ atau dram di sana. 

Bagi memberikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik, pusat servis telah dinaik taraf dengan 15 ruang penyelenggaraan. Ruang itu kini cukup selesa dengan pendingin hawa sepenuhnya.

Tidak ketinggalan, satu Stor Alat Ganti Tulen Yamaha turut disediakan untuk menyokong khidmat selepas jaualan yang lebih pantas dan efisien. 

Selepas penat melihat motor atau sementara menunggu motosikal diservis, hilangkan dahaga dan nikmati pelbagai menu makanan di GenBlu Cafe. Selain makanan yang sedap, anda boleh membuat pesanan menerusi pelayan robot bernama Shila Sakura. 

Kami juga berpeluang melawat Pusat Akademi Latihan dan Pembelajaran Motosikal (META) yang telah ditambah baik.

Dengan saiznya kini dua kali lebih besar, ia berperanan menawarkan latihan teknikal serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para pengedar Yamaha. 

Harus tahu, usaha HLYM tidak berakhir di sini. Dalam Fasa 2 yang akan dimulakan pada tahun kewangan akan datang, HLYM bakal membina sebuah Muzium Motosikal sendiri yang menjanjikan lebih banyak motosikal untuk tatapan semua.  

GALERI

Google ads
Back to top button