Buletin

LEWAT TERIMA MYVI, 3,100 PELANGGAN PERODUA TERIMA REBAT TUNAI – TAK BERITAHU PULA BERAPA REBATNYA

Berikutan gangguan sementara pengeluaran Myvi baru pada 20hb Ogos lalu, Perodua akan menawarkan rebat tunai sebagai pampasan kepada baki 3,100 pelanggan yang sepatutnya menerima Myvi mereka sebelum 1hb September.

“Kami ingin menawarkan rebat tunai kepada para pelanggan kami yang dihargai apabila kenderaan mereka didaftar nanti, sebagai pampasan di atas kesulitan yang dialami.

“Kami juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai masa penghantaran Myvi mereka dari semasa ke semasa,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

Kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifarkan daripada 6% sebelumnya bermula 1hb Jun sehingga penghujung Ogos. Keadaan itu menyebabkan wujud lonjakan terhadap pembelian kenderaan.

Pembeli juga menuntut agar kenderaan mereka didaftarkan sebelum 1hb September sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

Namun, pada 20hb Ogos lalu, Perodua mengumumkan bahawa pengeluaran model terlarisnya, Myvi tergendala akibat gangguan bekalan daripada pembekal.

Setakat ini, lebih 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

Google ads
Back to top button