Buletin

LEWIS HAMILTON BIDAS SIKAP MEMBISU WARGA F1 TERHADAP ISU GEORGE FLOYD

Pelumba pasukan Mercedes-AMG, Lewis Hamilton menyuarakan rasa marah terhadap insiden kematian lelaki Afrika-Amerika, George Floyd.

Insiden berkenaan telah menyebabkan keadaan di Amerika Syarikat menjadi huru-hara sehingga mendapat perhatian ramai selebriti hiburan dan sukan.

Begitupun, juara enam kali F1 itu sama sekali tidak menyokong kegiatan mencuri dan membakar banyak bangunan yang berlaku ketika ini.

Beliau berkata, selagi para pemimpin tidak mengambil tindakan agak sukar memperoleh keamanan. Protes itu bukan sahaja berlaku di AS, malah di Britain, Sepanyol, Itali dan seluruh dunia.

β€œLayanan terhadap golongan minoriti perlu diubah. Sama juga dengan bagaimana anda mendidik rakyat tentang kesetaraan, perkauman dan taraf kehidupan. Kita semua adalah sama.

β€œKita tidak dilahirkan dengan rasa perkauman dan kebencian di dalam hati. Tetapi ia diajar oleh mereka yang menjadi harapan dalam kehidupan kita,” tulisnya di laman sosial.

Memetik laporan autoevolution, Hamilton turut mengambil peluang menghentam bintang-bintang besar dalam sukan F1 yang masih membisu biarpun ketika dunia berada dalam ketidakadilan ini.

β€œDalam industri yang dikuasai oleh orang putih, tiada satu kritikan pun kedengaran daripada mereka.

β€œSaya merupakan satu-satunya orang kulit hitam dalam F1 dan perlu berdiri sendiri. Saya jangkakan anda tahu kenapa perkara ini berlaku dan bersuara,” tegasnya.

Google ads
Back to top button