Artikel Pilihan

EDDIE HALL – SATU-SATUNYA PEMANDU PERNAH MENYERTAI LE MANS SECARA BERSENDIRAN

Perlumbaan Le Mans 24 Jam kini memasuki tahun ke seratus dan pelbagai rekod pernah dicipta dalam perlumbaan paling ikonik ini. Ferrari dijangkakan akan memenangi perlumbaan ini untuk kali ke sepuluh dengan menggunakan jentera 499P mereka. Tapi dalam banyak-banyak rekod yang pernah tercipta, ada satu rekod yang sangat menarik dan akan kekal sampai kiamat.

Ini kisah seorang pelumba British bernama Edward Ramsden Hall atau lebih dikenali dengan nama Eddie Hall. Hall telah menyertai perlumbaan Le Mans tahun 1950 dan menghabiskan perlumbaan dengan memandu secara solo selama 24 jam! Sebenarnya beliau mendaftar dengan seorang lagi pemandu bernama Tom Clarke tetapi memutuskan untuk memandu sendirian.

Beliau berjaya membuat rekod tersebut dengan menggunakan sebuah Bentley Corniche TT Coupe 1933. Bayangkan ketika itu kereta dengan enjin sebaris enam 4.3 liter itu sudahpun berusia 16 tahun! Hall berjaya membuat 236 pusingan degan kelajuan purata melebihi 130 kmj. Ini bermakna Hall berjaya menempuh jarak perlumbaan melebihi 3,000 kilometer secara solo.

Beliau akhirnya berada pada kedudukan ke lapan. Boleh tahan untuk seorang yang berlumba berseorangan selama 24 jam. Macam mana agaknya dia boleh tahan diri daripada pergi ke jamban selama satu hari.

Kini rekod Hall akan terpahat selama-lamanya dalam sejarah Le Mans dan tidak akan mampu dipecahkan oleh sesiapa sahaja. Bukan sebab tiada yang berani melakukannya tapi pemanduan secara solo dalam perlumbaan ini adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Hall akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai satu-satunya pemandu yang pernah berlumba secara solo walaupun mempunyai rakan pelumba. Beliau kemudian bersara setahun selepas mencipta rekod tersebut.

Google ads
Back to top button