Artikel Pilihan

LEXUS ROV – KONSEP BUGGY MAHAL

Kereta buggy barangkali pada anggapan kita merupakan sebuah kenderaan rekreasi dengan rekaan dan fungsi yang cukup asas. Ada enjin, tayar, sistem ampain, dua tempat duduk, stereng dah boleh pandu terus masuk laluan off-road. Tapi ini bukan sembarangan buggy. Ini adalah Lexus ROV, sebuah kereta konsep yang lain daripada yang lain.

Ternyata kenderaan ini lari daripada konsep kebiasaan yang ada pada sesebuah buggy. Yang ini ada faktor wow untuk dipertontonkan. Barangkali Lexus ROV Concept (Recreational Off-highway Vehicle) adalah merupakan sebuah kenderaan konsep yang bukan calang – calang. Ianya adalah kenderaan yang unik apabila menggunakan trenkuasa daripada hidrogen dengan hampir sifar emisi menggabungkan keupayaan pemanduan off-road yang ekstrem. Ternyata ianya merupakan cerminan komitmen yang cuba ditunjukkan oleh Lexus untuk mewujudkan komuniti bebas karbon.

Ternyata pasukan reka bentuk Lexus telah berjaya membangunkan sebuah kenderaan yang mampu mengharungi apa jua persekitaran semula jadi tanpa masalah. Kereta konsep ini mempunyai kesemua ciri kereta off-road dengan sistem suspensi terdedah yang boleh dilihat, sangkar pelindung, serta tayar off-road yang tebal untuk mengharungi sebarang bentuk muka bumi yang berlumpur.

Walau pun ianya sebuah kereta konsep buggy, namun Lexus berjaya menzahirkan sebuah buggy yang kelihatan mewah dan bergaya. Sudah tentu logo Lexus yang dilekatkan di bahagian gril hadapan kelihatan cukup menawan untuk dipandu oleh pemiliknya yang sudah pasti memiliki wang berkoyan. Dan di bahagian bawah fender hadapan kelihatan sebuah ala pelindung untuk melindungi bahagian bawah enjin daripada sebarang anasir yang memasuki ruangan dalam.

Paling penting, ruangan dalaman Lexus ROV ini turut diberikan perinciaan yang setara dengan jenama Lexus yang lain. Tidaklah kodi serupa buggy yang biasa kita lihat itu. Punya tempat duduk dan juga stereng yang dibalut kulit.

Lexus ROV ini digerakkan dengan trenkuasa enjin hidrogen 1.0 liter yang berfungsi sama seperti tipikal enjin petrol tetapi dengan tangki tekanan tinggi untuk hidrogen termampat yang dihantar terus melalui penyuntik hidrogen secara terus. Paling penting, enjin hidrogen ini hampir sifar emisi berbanding enjin petrol.

Dengan berat badan yang ringan terdiri daripada rangka paip yang kuat serta sistem gantungan yang ampuh, ianya mampu memberikan pengalaman pemanduan yang jitu, seiring dengan Lexus Driving Signature serta kemampuan ke mana sahaja dengnan Lexus ROV ini.

Walau pun konsep buggy sebegini mungkin ada yang mencebik, tapi yang mencebik itu barangkali buat mereka yang tidak punya wang yang berkoyan. Buat mereka yang ASB nya sudah pun penuh, barangkali buggy mahal sebegini sudah lama mereka idamkan untuk beli buat meredah paya belakang mansion mereka sendiri.

BACA : KERETA KONSEP, KERETA PRODUKSI DAN IMEJ RENDERING

BACA : KERETA KONSEP FERRARI 512S MODULO 1970 AKHIRNYA BERGERAK DI JALANRAYA

Google ads

B K

Back to top button