Artikel Pilihan

KERETA KONSEP, KERETA PRODUKSI DAN IMEJ RENDERING.

Baru-baru ini penulis telah dihubungi oleh seorang kenalan yang bertanyakan satu model yang telah ditayangkan kira-kira 10 tahun lepas. Sebenarnya ia merupakan kereta konsep yang yang dinamakan Bezza. Kereta konsep ini membayangkan pintu belakang akan dibuka secara menggelungsur ke belakang dan juga papan pemuka dengan skrin sesentuh

Bukan setakat itu sahaja, rekaan meter dengan warna biru lembut, stering bersegi-segi, rim bersaiz 18 inci, dan pelbagai ciri menarik seolah-olah kereta tersebut datang dari 2050. Bak kata mat saleh ” to good to be true” Ya tuan-tuan inilah kereta yang dibuat khas untuk pemeran automotif yang dikenali dengan nama kereta konsep.

Biasanya kereta konsep ini akan dihasilkan bagi satu jenama automotif memaparkan keupayaan pasukan R&D mereka dalam bidang styling atau rekaan dan juga keupyaan mereka dalam menghasilkan teknologi baru. Seperti kereta konsep Bezza dihasilkan, ia masih tidak memiliki enjin dan juga sistem transmisi.

Tujuan sebenar kereta konsep ialah untuk menduga sejauh mana pelawat yang datang ke pameran tersebut berminat dengan rekaan ekstrim tersebut. Biasanya pelawat yang datang akan dijemput untuk mengisi borang kaji selidik yang disediakan. Namun disebabkan model perempuan yang digunakan selalu memakai baju tak cukup benang, maka tumpuan pelawat mula beralih kepada model bukannya kereta.

Kereta konsep ini juga bukanlah kereta yang lengkap walaupun secara zahirnya ia nampak seperti sebuah kereta. Seperti model Bezza tadi, ia tiada enjin. Ada juga kereta konsep hanya menunjukkan rekaan luarannya sahaja, manakala rekaan dalaman belum siap. Jadi ketika pameran, cermin kereta memang sengaja ditutup dengan tinted gelap ala-ala mafia

Kebanyakan kereta konsep tidak akan memasuki fasa produksi secara terus kerana industri automotif tertakluk kepada peraturan, isu keselamatan, praktikaliti dan juga kos. Mana mungkin nak buat pintu gull-wing pada kereta sedan bajet, kosnya mahal. Itu belum lagi campur dengan isu teknikal apabila digunakan oleh pengguna secara kerap setiap hari

Tapi ada juga kereta konsep yang berjaya memasuki fasa pengeluaran dengan sedikit perubahan sahaja berbanding dengan kereta konsep. Contohnya Lexus LC500 yang sudah tentu diluar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia. Kereta konsep ini juga kadangkala disebut sebagai mock-up yang dihasilkan daripada lilin, clay model, fiberglass, aloi, plastik dan juga gabungan antara bahan yang disebutkan tadi.

Pada minggu ini juga penulis ternampak beberapa keping gambar yang kononya model terbaru yang diberi nama Ruza. Ok tuan-tuan ini adalah satu konsep baru dalam dunia rekaan digital dimana artis atau jururekabentuk boleh mencipta satu model baru dalam perisian 3D dengan syarat dia mestilah kreatif dan ada komputer

Tak perlu kotorkan tangan buat clay model lagi. Anda boleh mengambil inspirasi sebuah kereta, lakukan editing pada gambar kereta tersebut, jadikannya lebih pendek atau panjang, masukkan komponen kereta dari model lain untuk nampak lebih real dan letakkan satu nama. Kalau nak lagi viral atau tular, hantarkan gambar tersebut pada laman FB warna warni dan juga binatang.

Imej digital yang dihasilkan oleh Theopilus Chin, menarik kan

Pasti meletup gambar tersebut. Digital render atau imej yang dihasilkan dengan perisian 3D nampak begitu hidup dan meyakinkan seolah-olah kereta tersebut wujud secara fizikal. Namun yang sebenarnya model kereta yang terhasil melalui proses imej 3D ini hanya wujud dalam kepala jururekabentuk dan dizahirkan semula dalam imej berkomputer.

Penulis tidak pasti siapa yang buat, tapi besar kemungkinan Thepilus Chin juga

Penulis amat menyokong usaha yang dilakukan oleh bakat tempatan ini kerana industri kreatif ini ada nilai yang tersendiri. Ia juga memberikan idea kepada bakal pembeli yang boleh mengagak bentuk sebenar kereta tersebut apabila dilancarkan nanti, samaada berbaloi untuk ditunggu.

Axia kontot, imej dari Theopilus Chin

Tapi setiap kali gambar tersebut disebarkan, jangan lupa letak nota “Model ini gambaran artis / designer sahaja” bukan apa. Sesetengah pembaca menyangka model ini adalah model sebenar. Sebaik sahaja nampak gambar render tersebut, mereka mula menyerbu pusat jualan. Ini kategori pembaris besi dah ni. Jadi diharapkan pembaca faham, apa itu model konsep dan juga model kereta yang dihasilkan secara digital dalam komputer.

Google ads
"
"
Back to top button