Buletin

LEXUS UX 200. CROSSOVER MEWAH, 3 VARIAN, BERMULA RM243,888 SEUNIT

Ketibaan model Lexus UX 200 nyata memeriahkan lagi SUV kompak mewah di Malaysia. Ia menjadi antara model baru yang paling dinantikan daripada Lexus Malaysia tahun ini.

SUV kompak pertama Lexus ini telah direka dan dibangunkan dari awal dengan matlamat untuk menggabungkan kepelbagaian penggunaan sebuah SUV, bersama gayaan yang lebih cenderung kepada sebuah hatchback.

Beberapa ciri baharu ditampilkan pada Lexus UX bagi menolak tanggapan bahawa ia hanya meminjam imej atau kelebihan model-model Lexus sedia ada. Sebagai contoh, pencahayaan menggunakan getaran elektromagnetik pada corong pendingan hawa adalah yang pertama di dunia.

Rekaan lampu belakang yang sangat unik pula menggabungkan aspek fungsi dan estetik. Diilhamkan daripada spoiler belakang jentera lumba, lampu bilah penstabil Aero LED itu bertindak sebagai spoiler aerodinamik.

Berbeza dengan model Lexus yang lain, UX mempamerkan hala tuju rekaan tersendiri. Antaranya, suis audio yang diletakkan pada bahagian bawah perehat tapak tangan.

Tidak ketinggalan, kemasan papan pemuka yang diinspirasikan daripada washi, soket aksesori pop-up dan banyak lagi.

“Lexus UX merupakan produk yang sarat dengan teknologi, kehalusan buatan serta kejuruteraan kreatif. Ia dicetuskan oleh pasukan yang diketuai oleh Ketua Jurutera wanita pertama Lexus.

“UX juga dihubungkan secara halus dengan semangat seni bina tradisional Jepun,” jelas Timbalan Pengerusi Lexus Malaysia, Akio Takeyama.

Penggayaan dan penampilan sporty

Rekaan SUV ini menggunakan konsep Urban Explorer. Ia menggabungkan kekuatan dengan kehalusan serta penggayaan dan fungsi di dalam bentuk kompak yang sporty.

Bersifat sangat ekspresif, model ini menampilkan rekaan luaran yang begitu menonjol dengan garis-garis mengalir, tajam, permukaan yang dibentuk secara terperinci serta spindle grill yang khusus.

Profil aerodinamiknya disempurnakan lagi dengan gabungan lampu belakang yang mengalir sehingga ke bahagian spoiler. Sementara rim bersaiz besar pula memberikan penampilan yang mantap.

Ruang kabin

Melangkah masuk ke dalam kabin Lexus UX 200 Luxury, sesiapa pun akan terpesona dengan ketinggian kualiti yang ada pada ruang berkenaan. Ia jelas mengambil ilham daripada unsur-unsur kehalusan pembuatan Jepun.

Direka untuk memberikan keselesaan serta kemewahan, material dan kehalusan kerja yang ditampilkan dalam ruang kabin sangat sinonim dengan Lexus, menggabungkan tradisi Jepun bersama teknik pengeluaran moden.

Ini termasuklah kemasan dalaman yang diinspirasikan oleh kertas Jepun, dikenali sebagai washi. Washi biasa ditemukan di dalam rumah tradisional, terutama pada pintu shoji yangbertujuanuntuk melahirkan rasa tenang dan hangat.

Sulaman sashiko — teknik tradisional Jepun yang dikenali kerana ketahanan serta kerap ditemukan pada pakaian judo dan kendo digunakan secara meluas pada balutan kulit pada varian Lexus UX 200 Luxury.

Berorientasikan pemandu

Ruang kabin UX menggabungkan aspek dinamik dan mewah sebuah sedan dengan kedudukan yang lebih tinggi serta karektor crossover. Ini memberikan kelebihan kepada pemandu dan penumpang.

Lexus UX memberi lebih tumpuan kepada pemandu, dengan memberikan keyakinan dan kawalan sepanjang masa ketika di atas jalan.

Aspek ini disumbang oleh konsep “Seat-in-Control” yang dipinjam daripada LC 500. Pemandu juga mempunyai tahap penglihatan lebih jelas dan luas disebabkan rekaan bahagian panel instrumen yang bijak.

Dengan interaksi terbaik antara jentera dan manusia, UX menjadikan fungsi-fungsi penting lebih mudah dicapai oleh pemandu. Ia tidak hanya memastikan keselesaan, malah memberikan kawalan penuh.

Lexus juga melengkapi UX dengan dengan ciri Lexus Remote Touch Interface (RTI) yang menampilkan sistem antara muka responsif, seperti operasi perisian telefon pintar. Semua varian hadir dengan AppleCarPlay dan Android Auto, memudahkan lagi capaian dan penggunaan aplikasi telefon pintar.

Lexus Safety System +

Lexus UX 200 menggunakan enjin 2.0L aspirasi biasa berkuasa 169hp yang baru dibangunkan. Ia dipadankan dengan kotak gear Direct-Shift CVT 10-kelajuan untuk menawarkan pemanduan yang lancar dan jimat.

Dibina di atas platform Global Architecture-C terkini, jentera itu menjanjikan maklum balas pemanduan yang dinamik. Bukan itu sahaja, Lexus UX 200 dilengkapi Lexus Safety System + (LSS+).

LSS+ merupakan sistem keselamatan bersepadu untuk menjadikan pemanduan lebih selamat. Sistem ini memanfaatkan sensor, kamera dan sistem canggih lain untuk membantu menghindarkan pelanggaran melalui amaran serta tindakan semi-autonomous.

Ia terdiri daripada Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Dinamik Radar (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Bantuan Pengesan Lorong (LTA) serta Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).  

Lexus UX 200 didatangkan dalam tiga varian iaitu UX Urban, UX Luxury dan UX F-Sport. Jentera itu ditawarkan pada harga bermula RM243,888 seunit bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Sokongan lepas jualan disediakan di tujuh lokasi seluruh negara, dengan juruteknik profesional dan terlatih sentiasa bersedia untuk melayani keperluan pelanggan Lexus.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button