Motosikal

BERKONVOI DARI CHERAS KE JELEBU, 4 DITAHAN POLIS KERANA INGKAR PKP

Akibat berkonvoi dari Cheras ke Titi, Jelebu, Negri Sembilan, empat orang penunggang motosikal ditahan polis selepas didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal memberitahu kesemua penunggang berusia antara 20 dan 30-an itu ditahan pada jam 9.30 pagi tadi di Jalan Besar Titi, Jelebu.

Polis sebelum itu menerima maklumat awam mengenai kehadiran penunggang motosikal berkenaan sebelum pergi ke lokasi.

Soal siasat mendapati semua suspek maklum mengenai PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu namun sengaja mahu menjalankan aktiviti konvoi bermotosikal.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu dan ujian air kencing mendapati negatif dadah,” kata Kamarul Rizal.

Menurutnya lagi, suspek akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis sentiasa memantau pergerakan orang ramai sehingga tamat PKP dan mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.

PKP dijadual berakhir pada 14 April hadapan selepas dilanjutan dari 31 Mac 2020.

Tags
Google ads
Back to top button