Artikel Pilihan

APA NASIB PASUKAN M-SPORT FORD MUSIM 2024 NANTI?

Pengumuman mengejut yang diterima oleh pasukan M-Sport Ford oleh pemandunya Ott Tanak untuk berpindah semula ke pasukan Hyundai Motorsport bagi saingan FIA World Rally Championship musim hadapan ternyata memberikan impak yang bukan calang terhadap pasukan yang berpangkalan di Britain itu.

Apatah lagi pengumuman tersebut diterima sementelah pemandu yang berasal dari Estonia itu masih segar dengan kejayaan memenangi perlumbaan di Rally Chile Bio Bio baru baru ini. Dengan situasi terbaharu ini, pasukan M-Sport Ford sudah semestinya harus memikirkan dari sekarang siapakah pengganti Ott Tanak serta barisan pemandu untuk pasukan mereka bagi musim hadapan.

Dan sudah pastinya, perkhabaran duka tersebut membuatkan Prinsipal Pasukan, Richard Millener kecewa memandangkan mereka tidak sempat pun untuk menawarkan peluang buat bekas juara WRC 2019 itu untuk kekal semusim lagi.

Walau pun berjaya memenangi perlumbaan di Chile dan juga Sweden musim ini, namun prestasi jentera Ford Puma Rally1 musim ini dilihat sedikit terumbang ambing di pertengahan musim sekali gus menjejaskan peluang Ott Tanak untuk mencabar kejuaraan WRC musim ini.

Ada cakap – cakap industry mengatakan berkemungkinan besar mereka bakal mendapatkan barisan pemandu muda bagi menghadapi saingan musim hadapan dek kekangan status kewangan mereka yang tidaklah sebesar pasukan Toyota Gazoo Racing dan juga Hyundai Motorsport.

Jika dilihat, berkemungkinan M-Sport Ford bakal mengekalkan pemandu muda Perancis Pierre-Louis Loubet, apatah lagi beliau dilihat berpengalaman sepanjang bersama pasukan itu.  

Berdasarkan pemerhatian dan prestasi semasa, jelas sekali pemandu muda dari Sweden yang beraksi dalam kelas WRC2, Oliver Solberg dilihat diantara calon utama yang patut dipertimbangkan untuk memandu jentera Ford Puma Rally1 mereka. Walau pun dari segi pungutan mata tidak memihak kepada Oliver Solberg musim ini, namun jelas kelajuan yang ada padanya apabila berjaya beberapa kali mencatat masa terpantas dalam peringkat perlumbaan.

Adrien Fourmaux yang memandu memandu untuk kelas WRC2 bersama Ford Fiesta Rall2 juga mungkin berada dalam radar mereka untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat memandu jentera utama.

Gus Greensmith yang pernah memandu untuk M-Sport Ford sebelum ini juga mungkin patut dipertimbangkan untuk disenaraikan sebagai pilihan sama ada sebagai pemandu utama atau pun sebagai pemandu separuh masa.

Sungguh pun demikian, pasukan M-Sport Ford tetap kekal fokus untuk menghadapi baki saingan dua lagi perlumbana. Dan khabarnya M-Sport Ford akan membariskan tiga jentera di Centra; European Rally dengan jentera ketiga akan dipandu sekali lagi oleh Grégoire Munster.

BACA : PEMILIK M-SPORT FORD AKHIRNYA BERPELUANG MEMANDU FORD PUMA RALLY1

BACA : M-SPORT FORD – SIAPAKAH BARISAN PEMANDU MEREKA MUSIM 2023 NANTI?

Google ads

B K

Back to top button