
MAHKAMAH JERMAN ARAHKAN TESLA BUAT BAYARAN BALIK, CIRI PANDU SENDIRI MACAM ORANG MABUK
Mahkamah Sivil Jerman telah membuat keputusan dengan memihak kepada pembeli Tesla 3 dan mengarahkan syarikat Tesla memulangkan semula duit sebanyak RM 331,000 sebagai pampasan selepas mahkamah mendapati ciri teknologi pandu sendiri pada kereta tersebut tidak sama seperti yang diiklankan
Dalam kes ini Darmstadt Regional Court mendengar bagaimana pengadu telah memesan sebuah Tesla 3 dengan spesifikasi khas untuk megara Jerman serta memilih untuk membeli pakej pandu sendiri (Full Self Driving) dengan kos tambahan RM 30,000. Namun selepas beberapa kali mencuba ciri tersebut, pengadu merasakan dirinya tertipu dengan iklan yang digembar-gemburkan
Pengadu mendakwa ciri Full Self Driving termasuk ciri khas memotong kenderaan perlahan secara automatik tidak berfungsi, Tesla 3 gagal mengenalpasti lampu isyarat, dan stering Tesla berkelakuan aneh ketika memasuki dan keluar daripada lebuh raya, ibarat dipandu oleh pemandu mabuk
Buat masa sekarang Tesla hanya menawarkan pakej naik taraf umum pada Tesla Model 3 yang merangkumi Smart Summon bagi membolehkan Tesla dipandu keluar dari garaj secara automatik, Autopark, Auto Lane Change dan Navigate on Pilot. Ciri ini sahaja sudah menyebabkan kos tambahan sebanyak RM 17,700
Namun mahkamah mendapati pemilik telah memilih pakej Full Self Driving dengan kos tambahan RM 30,000 dengan ciri lain seperti Autosteer untuk pemanduan bandar yang sepatutnya boleh mengenalpasti lampu isyarat dan papantanda jalan raya

Kes ini bukanlah kes pertama bagi Tesla yang diheret ke Mahkamah Jerman bagi menyelesaikan tuntutan pengguna. Pada tahun 2020, Mahkamah Munich membuat penghakiman bahawa Tesla didapati bersalah dengan menyebarkan maklumat salah di dalam kempen dan juga iklan pemasaran.
Dalam satu kenyataan balas, Tesla mengatakan ciri Full Self Driving tersebut berfungsi sama seperti yang direka dan khusus untuk negara Jerman. Namun ia gagal memuaskan hati pemilik dan juga mahkamah dengan penghakiman “menjual kenderaan dan juga perisian yang tidak selamat digunakan walaupun perisian tersebut telah cuba dibaiki”.
Salah satu perkara yang tidak disukai oleh kebanyakan pengguna terutama ciri Full Self Driving ialah Tesla cenderung untuk menjadikan pelanggan mereka sebagai bahan ujikaji terutama melibatkan perisian dan perkakasan Full Self Driving di atas jalan raya sebenar.
Sedangkan pengeluar lain hanya menguji ciri tersebut dalam litar khas dan menggunakan pemandu professional bagi menjamin sebarang masalah tidak melibatkan pengguna mereka. Hanya selepas betul-betul selamat sahaja barulah versi Full Self Driving diberikan pada pengguna
Malah pengeluar lain seperti Volvo dan Mercedes Benz memberi jaminan sekiranya kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan isu mahkamah, Volvo dan Mercedes Benz sedia untuk bertanggung jawab sepenuhnya pada sebarang masalah yang akan timbul.