Buletin

MAKAN AYAM DI BELAKANG RUMAH, 8 LELAKI DIDENDA RM1,000 KERANA INGKAR PKP

Lapan orang lelaki dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka didakwa makan ayam secara beramai-ramai di belakang sebuah rumah. Denda maksimum itu dijatuhkan oleh Majistret Nur Hafizah Rajuni ke atas Md Zain Ahmad ,63, Mohd Nurfitri Abdul Aziz ,37, Shajaruddin Misbahulmunir ,36, Shawalludin Mohd Nor ,40, Roslan Dahalan ,49, Mohammad Nur Othman ,33, Muhamad Zairi Abu Bakar ,48, dan Muhamad Hanif Abdul Manap berusia 35 tahun. 

Jika gagal membayar denda, mereka perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan. 

Mereka didakwa melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dengan berhimpun dalam kawasan jangkitan di belakang rumah di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak, pada jam 6 petang, Ahad lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada orang lain. 

Bagaimanapun, peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua lelaki itu memohon hukuman denda minimum kerana mereka telah menyesal. 

“Mereka semua ditangkap ketika sedang makan ayam di lokasi kejadian dan memohon maaf atas perbuatan tersebut,” katanya. – Bernama 

Google ads
Back to top button