Buletin

MyQ MAMPU KURANGKAN SESAK DI KAUNTER JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan sistem MyQ awal tahun ini, bagi mengurangkan kesesakan pelanggan di kaunter urusan agensi itu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata fungsi sistem secara dalam talian terbabit termasuk memberi kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan nombor giliran.

“Menerusi sistem ini, pengguna tidak lagi perlu beratur untuk mengambil nombor giliran dan akan dipandu arah oleh sistem berkenaan untuk tindakan susulan.

“Pelaksanaan sistem itu selari dengan usaha ke arah pendigitalan dan amalan norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Projek rintis ini akan dilancarkan menteri berkaitan pada bulan ini (Januari) di cawangan JPJ terpilih,” katanya pada sidang media Ops Ambang Tahun Baharu 2021 dekat Plaza Tol Besi.

Dalam perkembangan lain, Zailani berkata, pihaknya masih meneliti dan mengkaji cadangan remaja berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal di bawah 70cc menjelang 2025.

“JPJ sedang membuat kajian mendalam bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ini bagi melihat sama ada cadangan itu sesuai atau tidak untuk dilaksanakan,” katanya. – Berita Harian/JPJ

Google ads
Back to top button