Buletin

MAM HARAP SUKAN PERMOTORAN DAPAT KEMBALI BERAKSI

Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) berharap sukan permotoran tanah air dapat kembali beraksi selepas menghantar  cadangan-cadangan  prosedur operasi standard (SOP) khas sukan berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata cadangan berkenaan bagi membolehkan perlumbaan peringkat kebangsaan dapat dianjurkan dalam masa terdekat, selepas penganjuran acara sukan itu terus merudum sejak sebulan lalu.

Menurutnya, SOP bagi aktiviti sukan dan rekreasi yang antara lain mengehadkan 10 peserta pada satu-satu masa dan pematuhan kepada jarakan sosial; dilihat kurang sesuai bagi aktiviti perlumbaan.

Ia berikutan aktiviti itu sering kali melibatkan anggota pasukan, paramedik, marshal dan jurutera, selain pelumba.

“Kita masih belum pasti bila perlumbaan akan diadakan semula kerana kita perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu.

“Sebaik sahaja SOP diluluskan, kita memerlukan dua atau tiga bulan bagi menganjur satu-satu perlumbaan, terutama apabila ia melibatkan siaran televisyen,” katanya.

Mokhzani berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah suasana perlumbaan di kawasan terbuka, ruang pergerakan yang luas dan kawasan khas bagi menempatkan petugas serta kru.

MAM berdepan kerugian sekitar RM457,000 disebabkan pembatalan dan penangguhan acara sukan permotoran. – Bernama

Google ads
Back to top button