Motosikal

MAS2025: YAMAHA XSR 155 BAKAL MASUK MALAYSIA?

Antara tarikan utama di Malaysia Autoshow 2025 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang sehingga 15 Mei ini adalah di reruai Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). 

Ini kerana selain pelancaran dua model baharu menerusi XMAX 250 dan TMAX Tech Max baharu, HLYM turut mempamerkan Yamaha XSR 155 yang dibawakan khas dari Thailand.

Untuk rekod, HLYM tidak memasarkan sebarang model XSR disini termasuk XSR 155, XSR 700 dan XSR 900. 

Ketika sesi Media Day yang berlangsung pada 8 Mei lalu, kami diberitahu bahawa pihak HLYM mahu meninjau maklum balas dari pengunjung tentang XSR 155 tersebut. 

Ini kerana sekiranya maklum balas orang ramai  adalah positif maka pihak HLYM sedia pertimbang untuk memperkenalkan model itu di Malaysia. 

Atas kertas, XSR 155 dipacu enjin satu silinder 155cc SOHC dengan VVA yang berupaya mmenjana 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500rpm. Enjin tersebut merupakan unit yang sama memacu Yamaha Y16ZR dan MT-15 yang dipasarkan disini. 

Namun begitu, selain tampil dengan reka bentuk retro, kelebihan utama XSR 155 adalah kehadiran tangki bahan api berkapasiti 10L sekaligus menawarkan perbatuan yang lebih tinggi. 

Meskipun berjiwa retro namun XSR 155 ini dilengkapi ciri terkini termasuk ABS yang didatangkan secara standard dan dipadankan bersama cakera brek tunggal 282mm depan dan 240mm belakang. 

Perincian lain ditawarkan termasuk fork USD (upside/down), penyerap hentak tunggal (monoshock), swingarm aluminium, rim 17-inci depan dan belakang serta pencahayaan LED. 

Google ads
Back to top button