
MASERATI LANCAR SUV KEDUA, GRECALE 2023
Keluarga SUV Maserati kini mendapat ahli baharu, Grecale 2023 yang merupakan crossover kecil diposisikan di bawah model Levante.
Dinamakan bersempena dengan angin laut Mediterranean, Maserati menawarkan model Grecale dengan trenkuasa konvensional, manakala versi elektrik Grecale Folgore pula dijangka tiba setahun kemudian.

Dari segi rupa, Grecale masih mengekalkan identiti Maserati yang dimulakan dengan rekaan gril berlekuk, unit lampu yang agak kompak, serta garis bumbung seakan sebuah SUV coupe.
Varian Trofeo membawakan reka bentuk yang lebih berani, dimulakan dengan kit badan yang agak agresif, bukaan liang kemasukan udara yang lebar, serta rim yang besar.

Lebih penting, Grecale Trofeo dikuasakan oleh nadi V6 3.0 liter turbo berkembar, menghasilkan kuasa setinggi 523 hp @ 6,500 rpm dan daya kilas 620 Nm yang masuk penuh dari putaran enjin 3,000 rpm.
Kuasa itu dipadankan dengan sistem pacuan semua roda menerusi transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan, dibantu dengan komponen LSD elektronik pada gandar belakang.
Ia membolehkan Grecale pantas memecut 3.8 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 285 km/j.
Varian yang lebih mampu milik GT dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo dibantu dengan teknologi hibrid ringan, menghasilkan 296 hp dan 450 Nm, sementara versi Modena pula menghamburkan output setinggi 325 hp daripada enjin yang sama.

Ruang kabin SUV Grecale ini menampilkan sekurang-kurangnya empat buah skrin, dimulakan dengan skrin kluster digital di depan pemandu, diikuti skrin berkembar 12.3 inci dan 8.8 inci di bahagian tengah, dan skrin keempat yang merupakan jam digital di atas papan pemuka.
Untuk kepuasan berhibur, Maserati menawarkan sistem audio Sonus Faber 1,000 watt dengan 21 pembesar suara.

Maserati turut memperlihatkan serba sedikit informasi berkenaan Grecale Folgore (Folgore bermaksud kilat dalam bahasa Itali) yang didatangkan dalam warna eksklusif Rame Folgore, pek bateri berkapasiti 105 kWh dengan teknologi 400V, dan motor elektrik yang mampu menghasilkan daya kilas 800 Nm.
Dari segi dimensi, Grecale berukuran 4,846 mm panjang, 1,979 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,901 mm, sementara varian Modena dan Trofeo pula mendapat tambahan jarak trek gandar belakang 34 mm berbanding model standard.
Adik kepada Levante ini bakal menyerang pasaran Eropah pada separuh pertama tahun ini, diikuti pasaran lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan negara-negara Amerika Latin.























