Buletin

PERODUA TURUN HARGA KERETA 3-6% MULAI HARI INI!

Perodua akan menurunkan harga semua modelnya (harga atas jalan tanpa insurans) antara tiga hingga enam peratus melalui rebat tunai sehingga 14hb Jun 2020.

Ia dijangka mengekalkan harga baharu ini di sepanjang tempoh pengurangan cukai seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15hb Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3% hingga 6% bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini.

“Kami ingin membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan.

“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15hb Jun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Dalam ucapan Rancangan Pemulihan Ekonomi pada 5hb Jun, Muhyiddin mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk merangsang ekonomi di sebalik krisis COVID-19 yang sedang melanda negara.

Antara insentif untuk membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD). Selain pengecualian 50% bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.

“Perodua menyokong penuh langkah kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha memulih dan menaikkan ekonomi domestik,” kata Dato’ Zainal.

Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.

“Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif – bukan sahaja pelanggan tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar. Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, kami optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu,” tambah Zainal.

Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD).

Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

Google ads
Back to top button