Buletin

MAYA WEUG WANITA PERTAMA SERTAI AKADEMI FERRARI

Ferrari menandatangani pelumba berusia 16 tahun, Maya Weug, iaitu pemandu wanita pertama menyertai akademi mereka yang melahirkan jaguh Formula Satu (F1) seperti Charles Leclerc.

Dia mendapat tempat dalam akademi berkenaan dengan memenangi program Girls on Track Rising Stars yang dianjurkan FIA bersama Ferrari.

Maya, yang lahir dan dibesarkan di Sepanyol, akan beraksi dalam perlumbaan Formula Empat (F4) tahun ini bersama akademi yang turut melahirkan pelumba baru F1, Mick Schumacher.

Pelumba remaja kacukan Belanda dan Belgium itu mula terbabit dalam perlumbaan dengan berkongsi jentera kart terpakai dengan adiknya sejak berusia tujuh tahun.

Walaupun beberapa pelumba wanita sudah berusaha untuk melayakkan diri beraksi di Grand Prix (GP) F1 namun kali terakhir yang berjaya melakukannya ialah Lella Lombardi pada 1976.

Lella mengutip separuh mata dengan menduduki tempat keenam dalam Grand Prix Sepanyol pada tahun 1975. Dia membuat penampilan sebanyak 17 kali sepanjang musim 1975 dan 1976. – agensi

Google ads
Back to top button