
MAZDA CIPTA LAMPU SIGNAL IKUT DEGUP JANTUNG MANUSIA
Mazda melakukan inovasi untuk lampu isyarat membelok apabila mendedahkan ‘Dimming Turn Signals’ (DTS) yang meniru rentak degupan jantung manusia. Mazda mahu memenuhi fungsi asas automotif dengan matlamat untuk memanusiakan pengalaman automotif.
Pereka dan Peneraju Pembangunan Lampu Mazda, Atsushi Yoshida mengatakan bahawa Mazda mahu menimbulkan perasaan tenang dan selamat bagi pejalan kaki apabila melihat kereta menghampiri mereka dengan isyarat belok dinyalakan.
Tambahnya lagi, “saya mahu menjelmakan hubungan intuitif antara kereta dan pemandu. Saya memberi tumpuan kepada bagaimana niat pemandu terpancar dari hati mereka, seterusnya terhubung ke degupan jantung serta nadi.”

Yoshida dan pasukan reka bentuk menggunakan elektrokardiogram untuk menganalisis degupan jantung manusia, meskipun menghadapi beberapa masalah semasa membangunkan lampu isyarat membelok berkenaan.
Konsep itu pada asalnya dijadualkan untuk dipasangkan pada Mazda 3, tetapi Mazda bergelut dengan hasil yang tidak konsisten hingga menyebabkan Mazda terpaksa bekerjasama dengan pembekalnya untuk melaraskan jangka masa dalam kenaikan 0.01 saat.
Teknologi DTS mungkin kelihatan mudah, malah gimik, tetapi ia adalah percubaan daripada Mazda untuk menunjukkan penumpang mempunyai sentuhan peribadi kepada kenderaan mereka.
Bercakap tentang masa depan reka bentuk Mazda, Yoshida ingin membantu meningkatkan nilai reka bentuk Mazda melalui pencahayaan. Walaupun persaingan semakin sengit dengan kereta elektrik dan pemanduan autonomi, beliau mahu melihat reka bentuk kereta yang cemerlang diteruskan tanpa kompromi.
- BACA: TERAJANG CERMIN SISI BMW X3 DIDAKWA TAK BAGI SIGNAL, PEMANDU LORI DITAHAN POLIS
- BACA: KISAH BENAR. PEMANDU PEREMPUAN, HONDA DAN SIGNAL
- BACA: KESILAPAN TIDAK SENGAJA, BILA TUKAR PEMANDUAN SEBELAH KIRI KEPADA PEMANDUAN SEBELAH KANAN
- BACA: INI KERETA YANG REKAANNYA KEKAL DARI DULU SEHINGGA SEKARANG







