Buletin

MAZDA CX-8 CKD RASMI DILANCARKAN. 4 VARIAN, 7 & 6 TEMPAT DUDUK

Bermaz Motor hari ini memperkenalkan secara rasmi SUV terbaharunya, Mazda CX-8 2019 di kilang pemasangan INOKOM di Kulim, Kedah.

CX-8 yang diposisikan di antara model CX-5 dan CX-9 menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk. Ia disasarkan untuk pelanggan yang mahukan kenderaan ideal buat keluarga dan rakan-rakan.

Jentera itu hadir dalam empat varian yang dibezakan oleh tiga konfigurasi tempat duduk, spesifikasi dan pilihan enjin.

  • SKYACTIV-G 2.5L 2WD MID – 7 tempat duduk (2-3-2)
  • SKYACTIV-G 2.5L 2WD MID PLUS – 6 tempat duduk (2-2-2) captain seat
  • SKYACTIV-G 2.5L 2WD HIGH – 6 tempat duduk (2-2-2) captain seat dengan konsol tengah
  • SKYACTIV-G 2.5L 2WD HIGH  diesel – 6 tempat duduk (2-2-2) captain seat dengan konsol tengah

Sudah dibuka untuk tempahan, harga bagaimana masih belum diumumkan.

Tiga model dikuasakan oleh enjin SKYACTIV-G 2.5L aspirasi biasa (N/A) yang mampu menjana kuasa sehingga k192hp dan tork 258Nm. Sementara enjin diesel bersesaran 2.2 liter pula berkuasa 188hp dan tork maksimum 450Nm.

Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear SKYACTIV-DRIVE 6-kelajuan automatik bersama mode manual shift. G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) didatangkan sebagai ciri standard untuk semua varian.

Seperti yang boleh dilihat dengan jelas, CX-8 mengetengahkan bahasa rekaan KODO. Jadi, jangan buat-buat terkejut kalau ia tidak jauh berbeza dengan CX-3, CX-5 dan CX-9.

Biarpun begitu, ia mampu menyerlahkan reka bentuk yang premium, elegan dan tidak ditelan zaman. Bahagian hadapannya dipasang dengan gril kemasan krom yang diletakkan secara melintang. Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu utama LED yang nipis.

Bahagian bawah bamparnya dilengkapi kemasan hitam untuk membuatkannya kelihatan lebih sporty.

Ruang kabin premium

Selari dengan misi Mazda untuk menjadi sebuah jenama premium dari Jepun, ruang kabinnya dibina agar memenuhi ekspektasi tersebut. Bahagian dalaman yang tampil dengan susun atur minimalis dan menggunakan material berkualiti tinggi.

Mazda memastikan semua penumpang selesa sepanjang perjalanan, tempat duduk baris kedua dan ketiga mempunyai ruang kaki yang luas. Ia juga ditinggikan untuk membolehkan penumpang mempunyai aras mata yang sama dengan mereka yang duduk di kerusi hadapan.

Tidak seperti SUV 7-tempat duduk yang lain, kerusi baris ketiga CX-8 membolehkan mereka berketinggian sehingga 170cm dapat duduk dengan selesa. Bagi memudahkan urusan keluar masuk dan memasang tempat duduk keselamatan kanak-kanak, pintunya boleh dibuka pada kedudukan 80 darjah.

Aspek NVH yang baik pula dipertingkatkan menerusi penggunaan material penyerap getaran pada panel fender belakang. Jurang diantara moulding bumbung dan spoiler juga dipendekkan untuk mengurangkan bungi bising angin. Bukan itu sahaja, material penyerap bunyi turut dipasang pada tiang D.   

Keselesaan ditingkatkan lagi dengan corong pendingin hawa belakang bersama kawalan suu tiga zon.

Berita baik buat mereka yang tidak boleh berenggang dengan telefon pintar, Apple CarPlay dan Android Auto didatangkan sebagai ciri standard. Ia boleh diakses melalui paparan infohibur MAZDA CONNECT bersaiz 7-inci dengan aplikasi Waze, Google Maps dan Spotify binaan dalam.

Sistem keselamatan

Dari segi keselamatan, semua varian CX-8 hadir dengan 6 beg udara, ABS,

Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Traction Control System (TCS),  Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist dan Impact Absorbing Bonnet.

Tiga varian teratas juga dipadang dengan system keselamatan i-ACTIVSENSE yang terdiri daripada Blind Spot Monitoring (BSM) with Rear Cross-Traffic Alert (RCTA) dan Smart City Brake Support.

CX-8 didatangkan dalam enam pilihan warna iaitu merah, kelabu, putih, biru, perak dan hitam.

Sama seperti semua kenderaan Mazda yang didaftarkan mulai 1 Januari 2019, CX-8 hadir Bersama jaminan kilang dan penyelenggaraan percuma selama 5 tahun dengan had perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button