Artikel Pilihan

MONSTER TRUCK MERCEDES-BENZ S500 – SIAPA PERLUKAN G-GLASS (+VIDEO)

G-Class merupakan antara kenderaan 4×4 yang paling lasak keluaran Mercedes-Benz dan mungkin juga anda pernah membaca mengenai E-Class All-Terrain 4×4² sebelum ini. Tapi Mercedes ini memang spesial sikit.

Apa yang dapat anda saksikan di sini ialah sebuah Mercedes-Benz S500 generasi W140 untuk dijual di Russia. Satu ketika dahulu inilah kenderaan rasmi pemimpin-pemimpin negara dan jutawan-jutawan ternama di dunia. Kini model S500 ini ditemui untuk dijual di Russia dengan harga lebih RM300k. Apa pasal mahal sangat? Kat sini boleh dapat dengan harga kurang dari RM20k.

Jawapannya ada pada gambar dan video di bawah. Ia kini bukan lagi sebuah kereta mewah S500 yang pernah menjadi kenderaan rasmi perdana menteri dan presiden di seluruh dunia tapi kini ia sudah menjelma menjadi sebuah monster truck yang mampu menakluk pelbagai bentuk mukabumi di Russia.

Berdasarkan satu laman web dalam bahasa Russia, pemilik S500 ini telah menyiapkan projek ini pada tahun 2012 dan sejak dari itu ia telah menerima pelbagai anugerah di peringkat tempatan. Tak banyak perincian yang diberikan tetapi berdasarkan pemerhatian kami proses modifikasinya bukanlah semudah mencantumkan badan S-Class kepada casis pacuan empat roda lain.

Malah nampaknya casis S-Class dikekalkan kemudian pelbagai aksesori off-road dipadankan kepadanya oleh mereka yang memang mahir dalam proses ubahsuai seperti ini.

Pautan video menunjukkan yang S500 ini lebih dari mampu menguasai jalan-jalan off-road dan mengharung laluan berlumpur dengan mudah. Mungkin ia cabaran yang cukup mudah jika anda menggunakan G-Wagen atau E-Class All-Terrain 4×4² tapi rasanya dengan memandu kereta ini semestinya akan lebih mudah menarik perhatian ramai.

Macam mana? Ada rasa nak buat projek yang sama tak? Bersepah sebenarnya S-Class W140 ni dalam laman jual beli tempatan sebenarnya. Janji ada minat dan akaun bank yang sihat walafiat.

Google ads
Back to top button