MAZDA CX-9 – LANCAR JUN 2017
Pada majlis makan malam penghargaan media semalam, Bermaz Motor melakukan prebiu SUV terbaharunya, CX-9.
SUV saiz penuh itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada pertengahan tahun hadapan. Pengenalan CX-9 bakal menambahkan lagi tawaran model SUV Mazda yang sebelum ini hadir dengan CX-3 dan CX-5.
Sebagai SUV flagship buat Mazda, CX-9 ini merupakan model yang diimport terus dari Jepun. Biarpun begitu, Bermaz tidak menolak kemungkinan untuk memasang CX-9 di kilangnya di Kulim, Kedah sekiranya sambutan yang diterima adalah memberangsangkan.
CX-9 yang anda lihat ini merupakan model dengan spesifikasi untuk pasaran Australia. Melihat kepada rekaan luarannya, jentera itu meneruskan DNA rekaan KODO yang sememangnya cukup sporty dan menarik.
Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu utama nipis dan gril radiator yang lebar bersama kemasan krom. Semua lampu seeprti lampu utama, belakang dan lampu kabus hadapan ialah LED.
CX-9 bakal ditawarkan dalam dua varian iaitu dengan pacuan roda hadapan (2WD) dan empat roda (4WD). Kedua-duanya dikuasakan oleh unit enjin SKYACTIV 2.5 liter Turbo empat silinder sebaris. Enjin pancitan terus itu berupaya menjana kuasa mencecah 228hp @ 5,000rpm dan tork puncak 420Nm @ 2,000rpm.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik SKYACTIV-DRIVE. Rangkaian kuasa itu juga dilengkapkan dengan sistem janaan semula tenaga brek Mazda i-ELOOP dan teknologi melahu enjin, Mazda i-Stop.
SUV yang sudah memasuki generasi kedua itu mendapat penambahbaikan ketara pada ruang kabinnya. Bahagian tengah papan pemuka dihuni oleh sistem infotaimen MZD Connect dengan skrin sentuh warna bersaiz lapan inci.
Bagi memberi kepuasan menikmati muzik di dalam kabin, sistem bunyi keliling Bose dengan 12 unit pembesar suara ada disediakan.
Dari segi keselamatan pula, CX-9 dilengkapi enam beg udara, sistem ABS, Dynamic Stability Control (DSC), EBA, Smart City Brake Support (SCBS), Traction Control System (TCS) dan banyak lagi. Ia juga telah mendapat penarafan lima bintang daripada Australia NCAP.
Spesifikasi akhir untuk pasaran Malaysia bagaimanapun masih dibincangkan oleh Bermaz Motor. Kita tunggu sahajalah nanti…