
MAZDA DEDAH MODEL SPORTS KONSEP RX-VISION
Langsung dari Tokyo Motor Show 2015.
Mazda Motor Corporation (MMC) baru sahaja melancarkan model sports konsep terbaharunya, Mazda RX-VISION.
RX- VISION menjadi misi Mazda untuk menghasilkan sebuah jentera sports berenjin hadapan, pacuan roda belakang bersama rekaan KODO serta akan dikuasakan oleh enjin rotari generasi seterusnya, SKYACTIV-R.
Sebagaimana sedia maklum, enjin rotari memiliki binaan unik. Ia menghasilkan kuasa menerusi pergerakan rotari rotor berbentuk tiga segi.
Mazda berdepan pelbagai cabaran sebelum berjaya menghasilkan enjin rotari secara massa dan dikomersialkan menerusi model Cosmo Sport (Mazda 110S) pada tahun 1967.
Sebagai satu-satunya pengeluar yang menghasilkan enjin rotari secara komersial, Mazda terus menambah baik output kuasa, penjimatan bahan api dan ketahanan enjin tersebut.
Walaupun masih belum pasti bilakah Mazda akan menghasilkan enjin rotari itu, Mazda tidak pernah berputus asa untuk meneruskan visinya itu.
“Kami bukanlah pengeluar kereta gergasi, tetapi kereta yang kami hasilkan tetap menonjol. Visi kami adalah untuk menghasilkan kereta yang seronok untuk dipandu, selamat dan mesra alam.
“Apa yang pasti, satu hari nanti enjin rotari akan kembali. Sebab itulah kami mendedahkan kereta sports konsep RX-VISION pada hari ini,” kata wakil Pengarah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Masamichi Kogai.
Dengan tema Acccelerate Towards Our Dreams, Mazda turut mempamerkan beberapa model lain termasuklah Mazda2 (Demio), CX-3 dan MX-5 pada TMS 2015.











