Buletin

MAZDA MX-30 KINI DI MALAYSIA. 199KM SEKALI CAJ, 2 VARIAN, BERMULA RM199K

Bermaz Motor akhirnya melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertama Mazda, Mazda MX-30 secara rasmi. Pernah dipamerkan buat kali pertama pada Ramadan lalu, ia merupakan jentara yang boleh memenuhi keperluan peminat EV yang tidak mahu mengorbankan kualiti pemanduan sebuah Mazda.

Sudah boleh ditempah secara rasmi, MX-30 ditawarkan pada harga bermula RM198,780.

Seperti biasa, Mazda MX-30 menggunakan bahasa rekaan Kodo Design dengan pendekatan serba baharu berkonsepkan Human Modern. Lebih menarik lagi, ia turut mengetengahkan beberapa elemen yang diinspirasikan daripada model-model Mazda terdahulu.

Seperti contoh, bukaan pintu suicide yang mengingatkan kita kepada model RX-8, serta rekaan crossover coupe yang sporty.

Dari segi dimensi, Mazda MX-30 adalah sepanjang 4,395mm, lebar 1,795mm, tinggi 1,555mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,655 mm. Jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 180 mm.

Rangkaian kuasa elektrik yang digunakan ialah motor elektrik tunggal berkuasa 143hp dan tork 271 Nm. Ia dipadankan bersama kotak gear kelajuan tunggal automatik dan pek bateri lithium-ion 35.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 199km dengan sekali cas.

MX-30 menyokong pengecasan AC Type 2 6.6 kW dengan tempoh pengecasan penuh sehingga lima jam. Manakala pengecasan pantas DC CCS2 40kW membolehkan pengecasan sehingga 80 peratus hanya perlu mengambil masa 36 minit sahaja.

Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu versi Mid dan High.

Antara ciri standard termasuklah G-Vectoring Plus (e-GVC Plus), lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang LED, 10 sensor parkir (4 depan, 6 belakang) dan rim bersaiz 18 inci yang dibalut tayar 215/55 R18.

Ruang kabin pula hadir dengan skrin paparan kluster instrumen TFT LCD bersaiz tujuh inci, skrin infotainmen Mazda Connect 8.8 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kawalan suhu dua zon automatik, head-up display, roda stereng balutan kulit dengan paddle shifter serta brek parkir elektronik (EPB).

Kedua-dua varian itu dibezakan oleh tempat duduk pemandu larasan lapan tahap dengan dua larasan tulang belakang pada model High (larasan enam cara manual untuk versi Mid). Selain balutan fabrik dan leatherete untuk tempat duduk, sistem audio Bose dan kehadiran bumbung suria berkuasa untuk varian High.

Ciri keselamatan standard pada MX-30 merangkumi enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, fungsi Auto Hold, cagak ISOFIX dan lampu berhenti kecemasan (ESS).

Untuk varian Mid, jentera tersebut didatangkan dengan ciri seperti sistem pencahayaan depan adaptif (AFS), kawalan suluhan tinggi (HBC), sistem pemantuan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran keluar lorong (LDWS), amaran tumpuan pemandu (DAA), sokongan brek pintar (SBS) hadapan, dan kawalan jelajah radar Mazda (MRCC).

Varian tertinggi High pula mendapat penambahan ciri seperti lampu LED adaptif (ALH) menggantikan ciri AFS, amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), serta sokongan Cruising & Traffic System (CTS).

Mazda menawarkan warna menarik Polymetal Gray dan Machine Gray untuk pilihan tona tunggal, atau warna dua tona Jet Black Mica (tiang bumbung perak), Zircon Sand (bumbung hitam) dan Sould Red Crystal (bumbung hitam).

Mazda MX-30 sudah boleh ditempah menerusi pusat pameran Mazda Glenmarie Flagship, dan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun (atau jarak perbatuan 100,000km yang mana tiba dahulu), serta jaminan bateri sehingga lapan tahun atau 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

GALERI

Google ads
Back to top button