MAZDA TENGAH SIBUK BANGUNKAN CX-50, PENGGANTI CX-5
Mazda CX-5 generasi sekarang sudah berada di pasaran sejak tahun 2017. Kini, Mazda dilapor sedang sibuk membangunkan model gentian SUV popular tersebut.
Memetik laporan media Jepun, Spyder7 Mazda telah memfailkan tanda dagang nama “CX-50” dengan Pejabat Paten Eropah. Nama itu dijangka digunakan pada CX-5 generasi ketiga.
Pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Hiroshima itu juga dikatakan telah memfailkan nama CX-10 hingga CX90 bagi mengelakkan pihak lain menggunakan nama tersebut.
Khabar angin mendakwa Mazda sedang membangunkan platform pacuan roda belakang baharu dengan enjin inline-six yang akan dipasang pada Mazda6 dan CX-50. Platform itu akan menyokong rangkaian enjin SKYACTIV.
Menurut Spyder7, enjin inline-six 3.0 liter SKYACTIV-X dengan sistem mild-hybrid 48 volt dan enjin diesel inline-six inline-six 3.3 liter akan menjadi model teratas SUV berkenaan.
Mazda juga akan menawarkan enjin SKYACTIV-G 2.5 liter dengan sistem mild-hybrid 48 volt yang mampu menghasilkan kuasa 187hp. Selain enjin empat selinder 2.5 liter turbo berkuasa 226hp dan enjin diesel SkyActiv-D 2.2 liter. Penawaran enjin bergantung kepada pasaran yang bakal dimasukinya nanti.
CX-50 dikatakan bakal tampil dengan rekaan coupe yang lebih bergaya dengan garis bumbung rendah. Di samping lampu LED baharu dan fascia hadapan lebih menarik yang merupakan evolusi kepada bahasa rekaan Kodo Mazda.
Jentera itu dijangka melakukan debut pada awal tahun 2022. Memang sudah sampai masa CX-5 menerima penggantinya.