Artikel Pilihan

MAZDA3 TERIMA ANUGERAH RED DOT BEST OF THE BEST, MEMANG LAYAK SANGAT

Mazda3 2019 baharu sahaja dilancarkan dan belum dijual di banyak buah negara termasuk Malaysia.

Namun baru bukan sebarang baru, Mazda3 terus cemerlang apabila terpilih untuk menerima anugerah Red Dot: Best of the Best 2019.

Anugerah Best of the Best ini bukan biasa-biasa dan selari dengan namanya adalah yang paling ulung dalam pengiktiran reka bentuk Red Dot.

Anugerah ini diberikan kepada produk yang mempunyai ciri luar biasa dan jauh ke hadapan.

Ini bukan kali pertama buat Mazda kerana terdapat sejumlah lagi model dengan falsafah Kodo: Soul of Motion memenangi anugerah daripada Red Dot.

Sehingga kini Mazda telah mengumpul tujuh anugerah Red Dot iaitu MX-5 RF pada 2017, MX-5 soft top, CX-3 dan Mazda2 sekaligus pada 2015, Mazda3 pada 2014 dan Mazda6 pada 2013.

Rekabentuk Mazda3 ini sebenarnya halus serta mendalam melalui ciri-ciri berikut:

  • Mazda3 membawa estetika rekaan Jepun dalam bentuk ringkas dan tunggal (single)
  • Para pereka tidak menggunakan garisan karakter seperti kebiasaan kereta lain dan ia dibuat supaya panel badan kereta dapat mencerminkan keadaan sekeliling
  • Gaya less-is-more ini turut digunakan kepada keseluruhan kereta
  • Komponen seperti lampu depan dan belakang menggunakan prinsip yang bebas daripada elemen tidak perlu (Tipikal falsafah Jepun)
  • Prestasi kereta turut mencerminkan falsafah yang sama dengan fokus kepada manusia bagi menambah keseronokan pemanduan

  • Mazda3 dibina untuk pemandu merasa sebati sewaktu memecut, mengambil selekoh atau membrek dan pada masa sama memberi keselesaan dengan menapis input jalan raya sebelum sampai ke pemandu dan penumpang
  • Bahagian interior dibina dengan kedudukan simetri yang sempurna dengan pemandu
  • Kerusi direka dengan kedudukan pinggul berada tegak supaya pergerakan menjadi natural seterusnya mengurangkan penat

Selain falsafah reka bentuk, Mazda3 juga akan menjadi model pertama ditawarkan dengan Skyactiv-X, sebuah enjin petrol yang cekap seperti diesel.

Anugerah Red Dot bermula pada tahun 1955 dan merupakan pertandingan reka bentuk terbesar dunia.

Untuk penganugerahan, juri telah memilih tidak kurang daripada 100 produk untuk kategori Best of the Best dengan jumlah lebih daripada 5,500  penyertaan daripada 55 buah negara.

Tanpa memenangi anugerah reka bentuk pun Mazda3 sebenarnya telah tampil menawan.

Belum ada khabar berita lagi tentang bila model akan dilancarkan dan biasanya tiada masalah untuk menerima sambutan baik kerana Mazda sudah mempunyai pengikut dan peminat tersendiri.

Google ads
Back to top button