
OLIVEIRA MUNGKIN SERTAI PASUKAN KTM FACTORY, HAFIZH AKAN KEKAL DI KTM TECH3?
Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Johann Zarco sah akan meninggalkan pasukan KTM MotoGP bermula musim depan.
Sebenarnya, perkembangan yang mengejutkan itu membawa kepada banyak khabar angin yang lain. Sebagai contoh, bekas pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa mungkin menggantikan tempat Zarco.

Secara peribadinya, saya tidak fikir Pedrosa akan mengambil alih tempat Zarco kerana khidmatnya lebih diperlukan sebagai penunggang uji jentera KTM bagi musim perlumbaan 2020.
Sehingga kini, KTM masih membisu tentang barisan pelumba untuk MotoGP 2020. Ketiadaan Zarco meninggalkan lompong yang harus diisi bagi digandingkan dengan Pol Espargaro.
Namun, antara yang paling menarik pastinya kedudukan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin yang kini berlumba untuk pasukan satelit, KTM Tech3. Sedar atau tidak, ketiadaan Zarco turut memberi impak kepada pasukan satelit itu.

Sedia maklum bahawa kontrak Hafizh tidak disambung dan tempatnya akan digantikan oleh pelumba Moto2, Brad Binder. Binder bakal bergandingan dengan seorang lagi pelumba KTM Tech3, Miguel Oliveira.
Tetapi, keputusan KTM untuk mengundurkan diri daripada Moto2 dan Moto3 pada akhir musim 2019 mencetuskan satu lagi kemungkinan baru tentang nasib Hafizh.
Memetik laporan portal naikmotor.com bapa Hafizh yang mesra disapa Pak Enjang tidak tahu tentang nasib anaknya itu.
“Pasukan KTM Tech3 kata akan ada berita baik, tetapi saya masih belum pasti lagi apakah berita tersebut.” Apabila ditanya adakah KTM Tech3 akan terus menggunakan khidmat Hafizh, “Mungkin, kerana Hervel (Hervel Ponsharal, boss KTM Tech3) belum beri tahu.
“Oliveira mungkin naik ke pasukan factory,” jawabnya. Jika ini yang berlaku, Hafizh mungkin akan terus berada di KTM Tech3 dengan Binder. Apa pun ini semua khabar angin, sama-sama kita tunggu perkembangannya.