Buletin

GAGAL SAMAN BENGKEL, PEMILIK ASTON MARTIN DB9 DIARAH BAYAR RM1 JUTA KERANA CUBA MENIPU

Seorang wanita yang mendakwa sebuah bengkel cuba menipunya diarahkan oleh mahkamah supaya membayar sebanyar AS$250,000 (RM1.03 juta). 

Proses turun naik mahkamah selama tiga tahun melibatkan pemilik Aston Martin DB9, Jessica Liu dan bengkel MCL Motor Cars dan kedai pembaikan badan kenderaan, Burrard Autostrasse yang berpangkalan di Vancouver, Kanada kini berakhir apabila Jessica perlu membayar ganti rugi hampir sekali ganda daripada harga kereta itu. 

Jessica dilapor melanggar batu pada Disember 2015 dan keretanya ditunda ke bengkel berkenaan. Dia yang hanya mempunyai insurans asas menerima anggaran kos baik pulih sebanyak AS$65,000 (RM268,000) hingga AS$100,000  (RM413,000) kerana kereta itu mengalami kerosakan teruk. 

Dia kemudian membayar deposit berjumlah AS$38,000 (RM157,000). Tetapi enggan membayar baki dan menfailkan saman ke atas bengkel tersebut. 

Dalam samannya, Jessica mendakwa dia telah diambil kesempatan kerana tidak mahir berbahasa Inggeris dan dilihat kaya. Dia juga menuduh pengedar dan bengkel itu melanggar kontrak. Memandangkan dia tidak mengambil keretanya, Burrard Autostrasse mengenakan caj parkir dan perlindungan sebanyak AS$153 (RM630) sehari. 

Dalam samannya, Jessica menuntut pampasan sebanyak AS$226,000 (RM933,000) kerana mendakwa mengalami banyak kecederaan peribadi, termasuklah kemurungan, gangguan tidur, rasa rendah diri dan sebagainya. Dia juga terpaksa bertemu dengan empat forma peguam sebelum terpaksa mewakili diri sendiri di mahkamah. 

Ketika menyampaikan keputusan kes itu, hakim Mahkamah Agung, Nitya Iyer mendapati tuntutan Jessica tiada bukti kukuh. Justeru, Iyer bukan sahaja mengarahkan Jessica membayar baki kos pembaikan dan penyimpanan berjumlah AS$250,000 (RM1.03 juta), malah termasuk kos perundangan Burrard. 

“Selepas dinilai, tuduhannya bersifat penipuan, konspirasi dan salah anggapan tanpa sebarang asas perundangan. Pihak Burrard juga telah membeli alat ganti lebih AS$97,000 (RM400,500) untuk proses baik pulih, manakala kos buruhnya pula ialah AS$12,000 (RM49,500).

“Tiada satu pun bukti yang ditunjukkan kepada saya menyokong dakwaannya,” kata Iyer.

Google ads
Back to top button